Semua cawangan komersial Desatera kini berstatus halal - Utusan Malaysia

Semua cawangan komersial Desatera kini berstatus halal

FEIZAL Nor Nurbi (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad (kiri) ketika ditemui semasa pratonton buffet Nostalgia Ramadan di Randau Rasa oleh Dapur Brahim’s. - UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Penyedia perkhidmatan makanan katering, Desatera Sdn. Bhd., anak syarikat kumpulan Brahim’s, telah mencapai satu lagi pencapaian penting dengan memperoleh pensijilan halal sepenuhnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk lapan cawa­ngan komersial mereka.

Dalam masa yang sama, le­bih 50 peratus cawangan di kem ketenteraan juga sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Datuk Feizal Nor Nurbi berkata, inisiatif untuk mendapatkan sijil halal ini bermula pada tahun 2011, walaupun ketika syarikat menandatangani kontrak kem kenteraan pada tahun 2007, pensijilan halal tidak diwajibkan oleh pihak kerajaan pada masa itu.

“Ketika itu, cukup sekadar memastikan bahan mentah yang digunakan adalah halal mengikut kehendak kerajaan tanpa keperluan untuk mendaftar sijil halal. Namun, pada tahun 2011, kami mengambil langkah proaktif untuk memohon sijil halal bagi semua cawangan kami dan proses ini masih berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Feizal ber­kata, pensijilan halal memberi kelebihan dalam mempromosikan produk, seperti membolehkan syarikat menggunakan istilah ‘Ramadan’ dalam promosi makanan.

“Sebelum memperoleh sijil halal, kami tidak dibenarkan menggunakan istilah ‘bufet Ramadan’ walaupun menyediakan juadah berbuka puasa. Kini, kami boleh mempromosikan konsep nostalgia Ramadan’ secara rasmi,” jelasnya.

Desatera telah menjalankan proses audit yang ketat untuk memastikan semua cawangan perdagangan mereka mematuhi piawaian halal Jakim.

“Proses untuk mendapatkan sijil halal kini menjadi lebih mudah dan pantas berbanding dahulu, berkat kerjasama erat antara Jakim dan kementerian berkaitan. Dahulu, proses mengambil masa sehingga tiga bulan, tetapi kini ia hanya memerlukan sebulan sahaja untuk menyelesaikan segala prosedur,” katanya.

Proses ini merangkumi beberapa peringkat termasuk audit awal untuk memeriksa pematuhan terhadap piawaian halal seperti kebersihan dapur dan penyelenggaraan premis.

Mengulas lanjut, Feizal menegaskan bahawa pensijilan halal bukan hanya mengenai aspek agama, tetapi juga kebersihan dan sanitasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jika masyarakat dapat melihat halal sebagai standard kebersihan yang menyeluruh, ia bukan sahaja memenuhi keperluan agama Islam tetapi juga boleh menarik lebih ramai pengguna dari pelbagai latar belakang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×