Mohd Chan komited peroleh sijil halal di semua cawangan - Utusan Malaysia

Mohd Chan komited peroleh sijil halal di semua cawangan

MUSTAFA Chan (tiga dari kanan) bersama maskot Chef Ah Bao (tengah) semasa Majlis Ulang Tahun ke-18 Mohd Chan di sini, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Mohd Chan Group (Mohd Chan) sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kesemua 23 cawangan restorannya dalam masa terdekat.  

Langkah itu menzahirkan komitmen syarikat dalam menyediakan hidangan masakan Cina yang halal dan menepati cita rasa masyarakat tempatan.  

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Chan, Datuk Mustafa Chan berkata, pensijilan halal amat penting bagi mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap produk dan masakan yang ditawarkan, terutama kepada pelanggan beragama Islam.  

“Seperti yang kita tahu, majoriti rakyat Malaysia beragama Islam. Oleh itu, apabila menyediakan masakan Cina, adalah penting bagi kami untuk memastikan status halal makanan yang dihidangkan

“Pensijilan halal bukan sekadar penanda masakan mereka halal, malah turut menjamin aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dikawal dengan baik.  

“Selain itu, pengalaman mendapatkan sijil halal bagi beberapa cawangan sebelum ini menunjukkan sambutan yang sangat positif, khususnya daripada pelanggan beragama Islam,” katanya pada Majlis Ulang Tahun ke-18 Mohd Chan di sini, baru-baru ini.  

Dengan pensijilan halal, Mustafa yakin dapat mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.  

“Syarikat optimis dapat membawa jenama Mohd Chan ke persada dunia dan memperluaskan lagi pengaruh kami dalam industri makanan. 

“Bagi terus memperkukuh jenama juga Mohd Chan merancang untuk membuka lima cawangan baharu di Lembah Klang tahun ini,” ujarnya. 

Dalam majlis yang sama, Mohd Chan turut memperkenalkan maskot terbaharunya yang dikenali sebagai Chef Ah Bao, jiwa di sebalik ciptaan dim sum Mohd Chan. 

Chef Ah Bao diinspirasikan daripada pau kukus yang digemari ramai, wajah mesra di sebalik keenakan dim sum jenama itu. 

Baru-baru ini, Chef Ah Bao tampil dengan penampilan baharu, lengkap dengan uniform serba baharu yang dihiasi jalur oren bergaya, mencerminkan personalitinya yang ceria. 

Dalam pada itu, selain menawarkan hidangan berkualiti di restoran, Mohd Chan turut menyediakan perkhidmatan katering serta produk sedia dimasak di bawah jenama seperti Mohd Chan by The Garden, Mohd Chan Dim Sum dan Mohd Chan Express.  

Kejayaan jenama itu turut diiktiraf menerusi pelbagai anugerah, termasuk ‘Best Chinese Muslim Restaurants’ di Asia Halal Brand Awards 2017.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×