KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun 2024, yang tertinggi sejak 2017.
Jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional melibatkan RM63.05 bilion dan RM10.19 billion bagi Simpanan Syariah, melibatkan agihan keseluruhan berjumlah RM73.24 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi cemerlang KWSP itu didorong oleh kepesatan pasaran modal Malaysia yang terus berkembang di sebalik cabaran ekonomi global.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan yang menyokong perkembangan ekonomi dan pelaburan serta didorong oleh pembaharuan fiskal di bawah kerangka ekonomi Madani sekali gus memberi manfaat kepada rakyat melalui kemajuan yang seimbang dan lestari.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat terhadap ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata, pencapaian dividen yang kukuh dan berdaya saing KWSP tersebut membuktikan daya tahan serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan ahli terjamin.
Kata beliau, turut membanggakan adalah Simpanan Syariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024
“Syabas kepada KWSP! Alhamdulillah, KWSP sekali lagi berjaya mengatasi jangkaan. Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurutnya, peningkatan caruman suka rela juga jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.
“Ketiga-tiga pencapaian ini, iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh,” kata Amir Hamzah.
KWSP merekodkan pendapatan pelaburan RM74.46 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, 11 peratus lebih tinggi berbanding RM66.99 bilion pada 2023.
Aset pelaburan KWSP pula mencapai RM1.25 trilion, naik 10 peratus daripada RM1.13 trilion pada 2023, didorong pendapatan portfolio kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion.
Pendaftaran ahli baharu pula berjumlah 475,752 orang, menjadikan jumlah keseluruhan ahli KWSP sebanyak 16.22 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ekonomi Malaysia memperlihatkan pertumbuhan kukuh tahun lalu, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 12.9 peratus.
Katanya, KWSP juga melaporkan dividen yang sama bagi kedua-dua simpanan, sejajar dengan strategi pengasingan dana untuk menjadikan kadar dividen lebih kurang sama pada masa depan.
“Bermula Januari 2024, KWSP telah memisahkan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah, membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri.
“Strategi bagi kedua-dua portfolio ini ialah supaya ia dapat memberikan pulangan yang hampir sama dalam jangka panjang, dan tahun ini kebetulan kedua-duanya memberikan kadar dividen yang sama,” katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini semalam.
Kadar dividen tertinggi pernah diberikan KWSP adalah 8.5 peratus, dari tahun 1983 hingga 1987.
Ahmad Zulqarnain berkata, purata simpanan ahli KWSP setakat 31 Disember 2024 berjumlah RM73,680, dengan jumlah simpanan keseluruhan RM1.195 trilion.
Jelasnya, berdasarkan kaum, Cina terus mencatatkan purata simpanan tertinggi berjumlah RM151,988, diikuti India (RM72,582) dan Melayu (RM43,843).
“Simpanan purata setakat tahun 2024 (bagi ahli aktif) berjumlah RM110,000, kenaikan sebanyak 7.8 peratus berbanding 2023 manakala median simpanan ialah RM31,000, kenaikan sebanyak 10.7 peratus.
“Jumlah ahli yang membuat caruman sukarela turut melonjak kepada 1.2 juta, kenaikan 33 peratus daripada 902,000 tahun sebelumnya.
“Selain itu, hanya 30 peratus (empat juta) ahli KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, manakala 70 peratus (sembilan juta) selebihnya tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP mengunjurkan caruman pekerja asing akan menyumbang tidak lebih daripada RM5 bilion pada tahun pertama pelaksanaannya berdasarkan sumbangan masing-masing dua peratus daripada majikan dan pekerja asing seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau memberitahu, pekerja asing ketika ini boleh mencarum di KWSP, namun perkara tersebut adalah tidak wajib.
Ditanya sama ada perlu akta baharu untuk mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja asing, beliau berkata, perkara tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan.
KWSP merupakan antara dana persaraan terbesar di dunia dari segi saiz dana setakat September lalu menurut Thinking Ahead Institute, menduduki tangga ke-13 di dunia dan kelima di Asia. – MINGGUAN










