Tiada ruang pengkhianat UMNO bertanding PRN Sabah

Tiada ruang pengkhianat UMNO bertanding PRN Sabah

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak akan memilih pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hanya pemimpin yang setia dan ikhlas dalam perjuangan mendapat tempat dalam parti termasuk bertanding dalam pilihan raya.

“Pendirian UMNO Sabah jelas, kami tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding di bawah panji UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

“Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah asas utama dalam UMNO maka, mereka yang gagal mematuhinya tidak mempunyai tempat dalam parti ini pada pilihan raya nanti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada terhadap kedudukan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang telah bertindak mengkhianati perjuangan parti dengan menyokong kerajaan diterajuI Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, penggantungan keahlian Shahelmey bukan disebabkan sokongannya terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tetapi kerana tindakan beliau yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti. 

Katanya, UMNO sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan parti dengan setiap daripadanya harus sedar bahawa keahlian dalam parti ini datang dengan tanggungjawab dan disiplin. 

Bung Moktar berkata, setia kepada perjuangan UMNO bermakna harus mematuhi dasar dan keputusan parti. 

“Jadi, apabila seseorang mengkhianati mandat yang diberikan oleh parti, ia adalah satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Justeru, beliau meminta Majlis Tertinggi UMNO agar lebih bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti. 

“Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding pada pilihan raya maka, UMNO harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia,” jatanya.

Semalam, Shahelmey menyatakan keahliannya di dalam UMNO masih aktif biarpun Bung Moktar menyatakan telah menggantung keahliannya selama enam tahun, namun beliau akan mendapatkan pengesahan mengenai status keahliannya daripada Ibu Pejabat UMNO.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×