Calon tempatan faktor kemenangan BN PRK Ayer Kuning

Calon tempatan faktor kemenangan BN PRK Ayer Kuning

SARAVANAN pada sidang akhbar  di Pejabat MIC Tapah, Tapah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH:  Pemilihan calon tempatan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO menjadi faktor utama kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya iaitu Ishsam Shahruddin.

Timbalan Presiden MIC,  Datuk Seri M. Saravanan yang berpengalaman menjadi Ahli Parlimen Tapah selama empat penggal berpendapat, penglibatan ‘orang luar’ boleh mempengaruhi keputusan PRK yang cukup kritikal itu.

“Cuma kita kalau boleh mengurangkan penglibatan orang luar kerana penduduk di sini (Tapah) sensitif sedikit. Saya percaya jentera pilihan raya di Parlimen Tapah termasuk UMNO dan parti-parti lain (kerajaan) mampu menguruskan.

“Kemungkinan besar calon tempatan tetapi kita serah sepenuhnya kepada UMNO untuk pilih,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat MIC Tapah di sini semalam.

Beliau memaklumkan MIC secara kolektif memberi laluan kepada UMNO untuk menetapkan calon bagi PRK itu dengan kelebihan lebih berpihak kepada BN dan PH yang kini bergabung dalam Kerajaan Perpaduan.

Kata Saravanan berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini walaupun pertandingan melibatkan lima penjuru BN masih menang dengan majoriti agak selesa.

“Maka kali ini dengan adanya sokongan dan kerjasama melalui Kerajaan Perpaduan yang mana PH bersama dengan Barisan Nasional maka saya yakin kerusi DUN Ayer Kuning kekal (BN).

“Walaupun kita lihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh PRK tetapi ketiga-tiga jentera khususnya UMNO, MIC dan MCA telah mula mengerakkan jentera-jentera parti.  

“Kelebihan semua parti khususnya UMNO dan MIC mempunyai kekuatan sendiri kerana kebanyakkan ahli parti merupakan pengundi Tapah. Itu salah satu formula selama ini kita menang pilihan raya Parlimen Tapah kerana mewajibkan setiap ahli parti perlu mengundi di parlimen ini,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan berikutan kematian penyandangnya pada minggu lalu.

Ishsam meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang pada Sabtu lepas.

Untuk rekod, pada PRU15, Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Arwah Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd. Nazri Hashim dari Amanah yang mendapat 6,812 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×