China syor turun had umur kahwin kepada 18 tahun

China syor turun had umur kahwin kepada 18 tahun

BEBERAPA wanita membawa anak-anak beriadah di taman permainan di Fuyang, wilayah Anhui di timur China.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang penasihat politik kebangsaan China mengesyorkan supaya had umur sah untuk berkahwin diturunkan kepada 18 tahun, bagi meningkatkan peluang kesuburan dan menangani penurunan populasi negara itu.

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), Chen Songxi, bercadang untuk mengemukakan cadangan mengenai kelonggaran sekatan bersalin di China dan mewujudkan ‘sistem insentif’ untuk perkahwinan serta kelahiran, lapor Global Times.

Cadangan itu dibuat menjelang Mesyuarat Parlimen Tahunan China minggu depan, di mana pihak berkuasa dijangka mengumumkan langkah baharu bagi menangani kemerosotan jumlah penduduk negara tersebut.

Ketika ini, umur minimum perkahwinan di China ditetapkan pada 22 tahun bagi lelaki dan 20 tahun bagi wanita, antara yang tertinggi di dunia berbanding kebanyakan negara maju lain yang menetapkan had umur 18 tahun.

Menurut Chen, had umur itu perlu diselaraskan kepada 18 tahun bagi meningkatkan asas populasi kesuburan dan membebaskan potensi reproduktif sejajar dengan norma antarabangsa.

China mencatatkan penurunan populasi untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2024, dengan kadar perkahwinan merosot sebanyak satu perlima, kejatuhan terbesar yang pernah direkodkan, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan golongan muda berkahwin dan berkeluarga.

Sebahagian besar daripada kemerosotan demografi itu berpunca daripada dasar anak tunggal yang dikuatkuasakan antara 1980 hingga 2015.

Sejak 2021, pasangan di China dibenarkan mempunyai sehingga tiga orang anak.

Chen turut mencadangkan agar kerajaan menghapuskan semua sekatan berkaitan bilangan anak yang boleh dimiliki oleh setiap keluarga bagi memenuhi keperluan mendesak pembangunan populasi dalam era baharu.

Bagaimanapun, semakin ramai rakyat China memilih untuk tidak mempunyai anak disebabkan kos penjagaan yang tinggi, keengganan untuk berkahwin, atau kebimbangan terhadap gangguan kepada kerjaya mereka.

Bagi menangani krisis demografi itu, pihak berkuasa China memperkenalkan pelbagai insentif termasuk menambah cuti bersalin, manfaat kewangan dan cukai bagi keluarga yang mempunyai anak, termasuk subsidi perumahan.

Menurut badan pemikir China, negara itu merupakan antara tempat paling mahal di dunia untuk membesarkan anak berbanding KDNK per kapita, selain bebanan masa dan peluang yang ditanggung wanita selepas melahirkan anak. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×