Pemohon bantuan naik mendadak - Utusan Malaysia

Pemohon bantuan naik mendadak

FATIMAH Zuraidah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan ramai makin tertekan akibat Covid-19 sehingga permohonan bantuan daripada agensi itu naik kira-kira lima kali ganda sehingga Februari tahun ini.

Jumlah pemohon bantuan tahun sebelum ini sekitar 2,000 pemohon pada setiap bulan namun meningkat kepada 25,000 pemohon pada Januari dan Februari tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Fatimah Zuraidah Salleh berkata, peningkatan itu adalah kesan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan atau punca pendapatan.

“Angka pemohon mohon bantuan JKM naik lebih lima kali ganda berbanding bilangan pada tahun lalu.

“Jika sebelum ini (sebelum pandemik) kami hanya menerima permohonan antara 1,000 hingga 2,000 sebulan tetapi dalam tempoh pandemik, angka itu meningkat dengan ketara,” kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, pemohon membuat permohonan menerusi pelbagai cara iaitu dalam talian atau berurusan terus di kaunter-kaunter JKM.

Kata Fatimah, semua pemohon baharu itu akan diproses sebelum pegawai JKM akan turun padang untuk menyiasat kelayakan menerima bantuan.

Beliau memberitahu, peningkatan jumlah permohonan itu selari dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diubah semula kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 seperti diguna pakai sejak tahun 2005.

Mengulas lanjut Fatimah memberitahu, sebanyak RM419,590,440 atau 509,147 bantuan disalurkan sehingga Februari lalu dengan warga emas menjadi penerima terbanyak iaitu seramai 138,946 kes diikuti Bantuan Am (106,559) dan Bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) (91,081).

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 286,650 penerima bantuan terdiri kaum Melayu berbanding 284,917 sepanjang tahun lalu, sekali gus menjadikan ia jumlah penerima tertinggi mengikut etnik.

Fatimah yang kini memangku tugas Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat berkata, pemberian bantuan kewangan kebajikan kepada kumpulan sasar adalah bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

“Bantuan kewangan ini hanyalah dalam tempoh sementara sahaja sehingga kumpulan sasar ini mampu untuk keluar daripada kemiskinan dan mampu ke arah hidup berdikari,” jelasnya.

Katanya lagi, permohonan bantuan adalah berdasarkan keperluan kes pemohon dan kategori skim.

“Ini bermakna ia akan diberikan sama ada di bawah bantuan kanak-kanak, warga emas atau mana-mana kategori bantuan yang difikirkan sesuai berdasarkan kelayakan pemohon,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, bantuan kewangan terbanyak di berikan kepada penduduk di Sabah iaitu sebanyak RM49,426,335 bersamaan 62,936 kes diikuti Johor (52,199), Sarawak (50,529) dan Kelantan 46,946 sementara Labuan menjadi negeri terendah dengan 1,003 penerima untuk tempoh sehingga Februari lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×