JENAMA DongFeng lebih dikenali di Malaysia sebagai kenderaan perdagangan.
Sebenarnya, DongFeng memang bermula dengan kilang pembuatan trak semasa perang China dengan Korea dalam tahun 1960an.
Sekarang, DongFeng EV sudah dilancarkan di Malaysia di bawah pengurusan sebuah syarikat baharu, Central Auto Distributors, anak syarikat milik penuh Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).
DongFeng Box ialah sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak yang bersaing dengan EV lain seperti BYD Dolphin.
Hadir dalam dua varian, Box E2 yang berharga RM100,700 dan jarak gerak 330 kilometer (km) CLTC dari bateri sebesar 31.45 kWh.
Kemudian kita ada Box E3 dengan bateri 42.3 kWh, jarak gerak 430 km CLTC dan berharga RM113,700.
Jarak gerak yang diberikan adalah menurut pengiraan CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle) yang selalunya lebih tinggi dari bacaan pengiraan lain seperti Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) dan New European Driving Cycle (NEDC).
Bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) pula dikatakan mempunyai daya ketahanan yang lebih baik untuk jangka masa panjang. Ini bermakna ia lebih lambat dimakan usia (degradation) walaupun ada kajian yang mendapati ia tidak benar.
Sayangnya, dunia EV sebenarnya lebih kepada kajian-kajian yang bercanggah dan terpulang kepada pengguna kem mana yang mereka pilih.
Dari segi reka bentuk luar, Box ini nyata sebuah kenderaan yang bercirikan gaya hidup. Warna dua tona serta lampu-lampu LED yang menarik menjadikan ia sebuah kereta kompak yang kelihatan ranggi dan glamorous.
Bahagian dalam lebih menarik, dengan balutan kulit mewah gaya beg tangan wanita premium serta persekitaran yang terasa ceria. Kotak letak barang di papan pemuka (glovebox) pula diganti kepada satu laci yang cukup unik, seperti meja solek.
Sayang sekali cermin muka hanya ada pada sebelah pemandu sahaja.
Kategori kenderaan secomel dan seceria sebegini memang wujud, di mana prestasi, harga dan praktikaliti mengambil tempat kedua di belakang imej yang dipertontonkan oleh pemilik.
Contohnya, tidak ada sebab anda mahu menghabiskan RM100,000 untuk sebuah Kei-Car terpakai dari Jepun yang bentuknya seperti peti ais beroda dan prestasi yang baik sedikit dari troli pasar raya kecuali anda mahukan bentuk yang ditawarkan.
Begitu juga dengan mereka yang membeli trak pikap prestasi, lengkap dengan sistem gantungan canggih khusus untuk melompat 10 kaki dan mendarat dengan selamat tetapi realitinya jalan yang paling ‘mendebarkan’ oleh pemiliknya ialah bila ia mahu berhenti di tepi jalan persekutuan untuk membeli durian.
Reka bentuk mencerminkan gaya hidup yang mahu dipamerkan oleh pemilik kenderaan tersebut dan ini adalah satu cara untuk mempopularkan produk automotif. Ia juga satu daripada cara untuk menjamin kadar keuntungan yang tinggi kerana lebih dari 50 peratus harga produk berjenama ialah jenama itu sendiri.
Bagi sebuah syarikat yang memang menjual kenderaan mewah terpakai seumur mereka, tanpa perlu memikirkan waranti penuh, khidmat selepas jualan, pelaburan alat ganti dan latihan teknikal, kajian pasaran dan pelaburan dalam penjenamaan, ini ialah satu cubaan yang berani dari Pekema.
Dari segi produk, prestasi DongFeng Box ini sebenarnya lebih baik dari disangka. Kualiti pembuatan yang kemas, pengendalian yang baik dan kadar bunyi yang rendah, ia adalah umpama sebuah Perodua Myvi yang 10 kali ganda lebih baik.
Prestasi dari motor elektrik tunggal di hadapan pula terasa segar, walaupun menghasilkan daya kilas yang 20 Nm lebih rendah dari BYD Dolphin.
Bila dibandingkan dengan pesaing elektriknya yang lain, harga yang lebih rendah tidak semestinya akan menarik pembeli. Jika tidak, pastinya kita akan melihat ribuan EV Neta V di atas jalan raya.
Penggunaan alat dongle untuk fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, jarak gerak yang lebih rendah, kekurangan fungsi seperti port USB (hanya ada satu), sistem gantungan torsion beam di belakang dan kurangnya iklan serta pemasaran akan menjadi cabaran utama DongFeng Box.
Ia juga mempunyai pengecas dalaman yang terendah di dalam pasaran.
Varian E2 contohnya mempunyai pengecas AC 3.2 kW, bermakna ia akan mengambil masa 9.5 jam untuk bateri itu penuh, bagi jarak gerak cuma 330 km (CLTC). Jika kita tukar ke pengiraan WLTP, kemungkinan besar jarak geraknya turun ke 250 km ke bawah.
Sayang kerana jika kena caranya, Box ini boleh lebih berjaya dari sekarang kerana ia jauh lebih bergaya dari BYD, MG dan pastinya, Neta.-UTUSAN










