TIADA sesiapa pun mahu ditimpa musibah. Sedaya upaya akan berusaha, berdoa untuk kesejahteraan hidup dan mengelakkan diri ditimpa rasa sedih dan berdukacita.
Berkongsi pandangan berkait musibah dan hikmahnya, Imam Tua Masjid Nurul Annuar, Mat Ya Daud berkata, ada hikmah di sebalik musibah yang menimpa yang menuntut umat manusia berfikir, tabah dan tingkatkan kekuatan iman.
Menurutnya, salah satu doa yang diriwayatkan Abu Daud dan diajarkan Rasulullah SAW kepada umat Islam agar dijauhkan perasaan keluh kesah dan dukacita.
“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”
“Ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Dugaan tampil dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kehilangan harta benda, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan dan kesengsaraan yang membawa perasaan tidak senang dalam jiwa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Masjid Nurul Annuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Mat Ya berkata, ujian dan dugaan terhadap manusia telah digarapkan dalam al-Quran Surah al-Mulk ayat yang kedua bermaksud:
“Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Tambah Mat Ya, sesiapa yang ditimpa musibah perlu diingatkan supaya bersangka baik terhadap ujian Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.
“Sesungguhnya agama bukan ibarat candu yang hanya menjadi ubat penenang pada waktu tertentu bagi melenyapkan perasaan sukar serta melarikan diri daripada kesusahan.
Imam Mat Ya Daud
Usia:59
Asal: Taman Sri Bali Semerak, Pasir Puteh, Kelantan
Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Seri Gunung, Bachok, Kelantan
Maahad Muhammmadi, Kota Bharu, Kelantan.
Universiti al-Azhar, Mesir (Usuluddin)
Tugas hakiki:
Imam Tua Masjid Nurul Annuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan
“Sebaliknya agama adalah satu cara hidup yang sebati dan berkekalan. Setiap kepayahan pasti diiringkan dengan kemudahan seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya.
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Insyirah:5-6)
Mat Ya berkata, ujian dan musibah juga adalah ruang waktu untuk umat Muslim lebih mendekatkan diri dan hampir kepada Allah SWT.
Katanya, perbanyakkan doa agar urusan dipermudahkan termasuk dalam musibah tertentu seperti menghadapi banjir dan pelbagai.
“Jadikan ia medan untuk menilai semula jika musibah itu akibat perbuatan dan kealpaan manusia. Muhasabah kembali itu penting,” katanya.
Tugas manusia di atas muka bumi ini, katanya, bukan sekadar beribadat kepada Allah SWT malah tanggungjawab melestarikan kehidupan yang alami melalui memelihara dan memulihara alam sekitar juga menjadi tuntutan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah dilakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
(Surah ar-Rum:41)
Kesimpulannya, kata Mat Ya, ketika menerima ujian dan musibah, kita perlu merenung kembali sejauh mana hubungan kita dengan Allah SWT, Jadikanlah musibah yang berlaku itu untuk kita bermuhasabah diri. – UTUSAN










