Menjamu selera Kafe Santai D’Sungai Derga

Melayari sungai sambil menjamu selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA kata Alor Setar tidak memiliki tempat healing yang dekat dengan suasana alam? Kafe Santai D’Sungai Derga yang terletak di Sungai Derga, Alor Setar adalah contohnya.

Terletak cuma 5 kilometer dari pusat bandar raya Alor Setar, restoran ini bukan sembarangan kerana turut memberikan pengalaman menikmati hidangan sambil menaiki bot melayari sungai tersebut.

Bayangkan menikmati makanan enak daripada menu masakan Thai sehingga ke Barat sambil menikmati suasana alam ketika belayar selama sejam. Ia pengalaman aman untuk lari seketika daripada kesibukan bekerja.

KAFE SANTAI D’SUNGAI DERGA
Alamat:
Jalan Datuk Kumbar Alor Setar Kedah
Operasi:
3 petang hingga 11 malam

 

Bercerita tentang menu yang disediakan di restoran ini, ia beragam masakan namun masakan Thai sering menjadi pilihan pengunjung kerana cita rasa authentik dari negara Gajah Putih itu.

Terdapat hampir 100 menu masakan namun menu signature restoran ini adalah miang pla ikan siakap, tomyam kelapa, mee gulung dan chicken chop. Sementara air kelapa kocak bunga telang yang mempunyai banyak khasiat itu dan air batu campur chicken pula menjadi hidangan unik kegemaran ramai di sini.

 

Menurut pemilik restoran ini, Mazura Jaafar, 45, restoran berkenaan sudah beroperasi sejak dua tahun lepas namun tular sejak lima bulan lalu apabila mereka menyediakan perkhidmatan bot tersebut.

“Saya dan suami, Che Mat Karim melabur sebanyak RM60,000 untuk membina dua bot yang dinamakan MJ Cruise dan SD Cruise. MJ mampu memuatkan 30 penumpang sementara SD pula 15.

“Kami menerima banyak tempahan untuk acara tertentu seperti parti hari lahir atau majlis perpisahan di atas bot ini. Selain menu masalah Thai dan Barat kami turut menyediakan menu masakan kampung mengikut permintaan pelanggan seperti gulai batang pisang, kerabu kaki ayam dan ayam bakar,” katanya ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Menurut Mazura, menu masakan Thai tersebut menggunakan resipi asli berdasarkan kemahiran tukang masaknya termasuk tomyam kelapa dan miang pla.

“Kami menyediakan makanan pada harga berpatutan bermula RM2.50 hingga RM45. Restoran ini mampu memuatkan lebih 400 pengunjung. Baru-baru ini kami menerima pengunjung dari

Thailand sempena Tahun Melawat Kedah 2025 ini.

“Selain itu, banyak juga artis sering berhimpun dan bertemu peminat mereka di sini seperti Ella dan Fasha Sandha,” jelasnya.

Restoran tersebut beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Selasa.

Menurut Mazura, terdapat juga pelanggan memilih untuk belayar sebelah petang kerana ingin menikmati matahari terbenam.

“Belayar dan menikmati hidangan ini sangat unik dan menyeronokkan, itu pengalaman daripada pelanggan kami. Tempahan bot dibuat secara individu atau berkumpulan.

“Banyak yang suka datang ketika musim padi masak kerana pemandangannya sangat indah ketika belajar sepanjang sungai ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×