PDRM masih ada 90 minit ubah keputusan 

PDRM masih ada 90 minit ubah keputusan 

Aksi Selangor menentang PDRM dalam final pertama Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berakhir dengan kemenangan Red Giants 3-2 Sabtu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC yakin misi mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum berakhir meskipun tewas tipis 2-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan akhir pertama Sabtu lalu.

Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P. Maniam tetap optimis dengan keupayaan skuad Sang Saka Biru untuk bangkit dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Sabtu ini, sekali gus menafikan kelebihan lawan.

“Masih ada baki 90 minit dan peluang masih terbuka. Kita telah mengenal pasti kelemahan dan sedang membuat persiapan rapi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Para pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan dan saya yakin mereka akan tampil lebih garang pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Maniam turut mengakui cabaran getir menanti pasukannya, namun beliau bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi PDRM dalam memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan penentu itu.

“Selangor mempunyai kelebihan satu gol tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Jika pemain berjuang sebagai satu pasukan, saya percaya kita mampu mencipta kejayaan. Yang penting, mereka harus kekal fokus dan percaya kepada kemampuan sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, skuad PDRM mempamerkan semangat juang tinggi dalam aksi pertama meskipun berdepan tekanan daripada Selangor yang beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.

“Saya bangga dengan persembahan pemain walaupun kita tewas. Ini membuktikan mereka memiliki semangat juang yang tinggi dan saya yakin dengan pendekatan yang betul, kita boleh bangkit,” katanya.

Aksi final kedua dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memburu kejuaraan, namun bagi Maniam dan anak buahnya, mereka tekad untuk memberikan segala-galanya demi memastikan Piala Cabaran dipertahankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×