PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak tempatan mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya menilai semula keputusan pemecatan pengadil yang dibuat baru-baru ini bagi memastikan keadilan dan profesionalisme dalam sukan bola sepak negara terus terpelihara.
Sadek Mustaffa berkata, tindakan itu dengan mengambilkira aspek keadilan sewajarnya diperhalusi semula agar tidak menimbulkan konflik serta kontroversi yang boleh menjejaskan kredibiliti badan induk bola sepak itu.
“Jika proses ini tidak dilakukan dengan teliti, ia boleh merosakkan imej FAM serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan peminat bola sepak tanah air,” katanya.
Tambah beliau, sebarang tindakan terhadap pengadil wajar melalui proses perbicaraan yang adil serta memberi peluang kepada individu terbabit untuk membela diri.
“Adakah FAM telah memberikan peluang pembelaan yang sewajarnya kepada pengadil yang dipecat? Jika tidak, keputusan ini wajar dikaji semula bagi memastikan integriti serta ketelusan dalam sistem pengadilan bola sepak kita terjamin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sadek menegaskan bahawa sebarang keputusan yang diambil oleh FAM perlu dilakukan secara berhemah agar tidak menjejaskan keharmonian dalam ekosistem bola sepak negara.
“FAM perlu memastikan setiap tindakan yang diambil selaras dengan prinsip profesionalisme serta kepimpinan yang berwibawa,” katanya.
Sebelum ini, bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan tindakan pemecatan pengadil Fitri Maskon sebagai keterlaluan. – UTUSAN











