NILAI: Malaysia meletakkan sasaran realistik untuk sekurang-kurangnya tiga pingat tanpa mengira warna di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 dengan tumpuan utama pada acara pecut berpasukan dan keirin wanita.
Biarpun tanpa penyertaan jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, kem berbasikal trek negara optimis mampu membuahkan tiga pingat pada ACC 2025 yang akan berlangsung pada 21 hinggan 27 Februari ini.
Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri, menegaskan bahawa beliau secara peribadi meletakkan sasaran minimum tiga pingat, namun warna pingat tersebut bergantung kepada prestasi semasa pelumba di kejohanan nanti.
“Kita mensasarkan dua pingat daripada acara pecut berpasukan, manakala satu lagi berpotensi datang dari acara keirin wanita.
“Nur Allysa Farid akan tampil menggantikan Alia Syafika Azizan dalam acara pecut berpasukan wanita, selepas beliau mengalami kecederaan tahun lalu,” kata Harnizam kepada pemberita pada Sidang Akhbar ACC 2025 di Velodrom Nasional Nilai, semalam.
Acara pecut berpasukan wanita dibarisi oleh pelumba sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid manakala bagi acara lelaki menyaksikan, Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis serta Mohd Akmal Nazimi Jusena.
Keirin wanita menjadi sasaran pingat dalam kejohanan Asia ini, sekali gus menyaksikan Nurul Izzah menjadi sandaran utama bagi kem berbasikal trek negara.
Untuk rekod, pada edisi tahun lalu di New Delhi, India, kem berbasikal trek negara berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kehadiran penonton masih rancak biarpun tiada kehadiran Azizulhasni pada pentas Asia kali ini.
“Saya fikir penonton tetap akan datang kerana Azizulhasni sendiri minta penonton datang menerusi media sosial dan kemungkinan beliau pun datang berikan sokongan. Walaupun beliau tidak beraksi tetapi penonton akan datang,” kata Amarjit. – UTUSAN










