KUALA LUMPUR: Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selesa dan keselamatannya terjamin demi memenuhi impian dan harapan setiap pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekolah dan persekitaran mesti dalam keadaan baik kerana bidang pendidikan merupakan pintu kejayaan bagi setiap rakyat.
Sebagai pemimpin, guru dan ibu bapa katanya, mereka semua mempunyai tanggungjawab bagi mewujud dan mengekalkan persekitaran itu selain memastikan kejayaan anak bangsa dalam bidang pendidikan.
“Saya mahu persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak. Ini penting kerana anak-anak dapat belajar dengan baik dan selesa.
“Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa, perlu genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
“Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan, selamat kembali menimba ilmu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, Anwar melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Bharu, Kuala Lumpur bagi meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan serta dedikasi serta kecekalan para pendidik bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.
Menyentuh kunjungan itu, Anwar berkata, beliau kembali ke bilik darjah bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa.
Selain itu, beliau berpeluang mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa termasuk para pelajar.
“Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang dan mencorak harapan.
“Saya sempat menghimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC di tahun-tahun lampau, yakni betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.
“Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan isu pembinaan sekolah yang tertangguh akan diberi perhatian serius bagi memastikan projek-projek tersebut disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, pemantauan ketat akan dilaksanakan bagi memastikan projek pembinaan sekolah tidak menjadi ‘projek sakit’ yang akan memberi kesan buruk terhadap kualiti pendidikan dan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kerajaan komited menyelesaikan isu ini dengan pendekatan baharu yang lebih efisien.
“Kami akan pastikan semua agensi yang terlibat dalam pembinaan sekolah memberi komitmen sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pembukaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini semalam.
Menurut Fadhlina, projek-projek pembinaan sekolah perlu disiapkan mengikut jadual bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif untuk pelajar.
Beliau berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua pelajar di seluruh negara.
Malah, kementerian juga akan terus memastikan projek-projek yang tertangguh diberi keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan demi kepentingan masa depan pendidikan negara.
“Kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam projek-projek ini bagi mencapai matlamat tersebut amat penting.
“Kami berharap pendekatan ini dapat mempercepatkan proses pembinaan sekolah dan memastikan setiap pelajar mendapat ruang yang sesuai untuk belajar dan berkembang,” ujarnya. – UTUSAN









