Kemarau: 702 pesawah terima Tabung Bantuan Bencana

Kemarau: 702 pesawah terima Tabung Bantuan Bencana

MOHD. Zolkafly Harun bersama penerima Tabung Bencana Tanaman Padi pada majlis penyerahan bantuan di Bagan Serai semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sebanyak RM813,081 diperuntukkan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk membantu 702 pesawah di negeri ini yang terkesan akibat kemarau dan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, inisiatif itu sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah dan memastikan rantaian bekalan makanan negara terus stabil.

“Kemarau yang melanda menjejaskan kawasan tanaman padi seluas 778.15 hektar di seluruh Perak, termasuk 470.93 hektar di daerah Kerian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, 0.70 hektar kawasan tanaman lain turut terjejas akibat banjir,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai, semalam.

Kerajaan negeri turut me­nyampaikan bantuan di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) kepada tiga penerima di Kerian dengan jumlah keseluruhan RM6,000.

Menurut Mohd. Zolkafly, secara keseluruhan, kerajaan negeri dan Persekutuan telah meluluskan bantuan berjumlah RM812,081.28 di bawah TBTP kepada 702 pesawah yang terkesan.

“Bagi TBP pula, sejumlah RM1,411,842.10 telah diperuntukkan untuk membantu 110 petani dan penternak dalam sub sektor tanaman makanan, ternakan, dan akuakultur,” katanya.

Katanya, Perak merupakan pengeluar padi ketiga terbesar di negara ini.

Mohd. Zolkafly berkata, sektor pertanian kini berdepan cabaran besar akibat perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran hasil tanaman serta kestabilan rantaian bekalan makanan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini