PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya memberikan fokus 100 peratus dalam aksi final pertama menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Kinoshi berkata, biarpun Gergasi Merah ketika ini berada dalam momentum terbaik dengan merekodkan rekod bersih dalam 10 perlawanan berturut-turut sebelum ini, itu tidak memberi sebarang jaminan dalam perlawanan akhir nanti.
“Saya maklumkan kepada pemain agar memberikan komitmen 100 peratus dan kena fokus dalam perlawanan akhir. Kami dahagakan kejuaraan dan mahu lakar sejarah baharu buat pasukan bola sepak Selangor.
“Sejarah ini bukan sahaja untuk pemain tetapi untuk semua termasuk penyokong, pengurusan dan semua pihak yang bekerja keras untuk kemajuan pasukan Selangor musim ini.
“Saya mahu pemain kekalkan corak permainan agresif dan tidak berputus asa, jika usaha berterusan dan berikan 100 peratus, keputusan (bagus) akan datang kemudiannya,” katanya dalam sidang akbar pra perlawanan, semalam.
Ditanya kelebihan beraksi dalam aksi pertama di gelanggang sendiri, Kinoshi berkata, situasi itu sememangnya memberi kelebihan kepada pasukan, namun dia tidak mahu anak buahnya merasakan itu ebagai kelebihan.
“Kami ada ramai penyokong apabila bermain di sini (MBPJ), semestinya jadi kelebihan. Segalanya kan berubah dengan oprak permainan, (pemain) jangan fikir ada kelebihan, apa yang penting ialah fokus kepada perlawanan,” katanya.
Sementara itu, kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin berkata, barisan pemain mahu menghadiahkan suatu kepada penyokong Gergasi Merah dengan menjuarai Piala Cabaran musim ini.
“Saya bersama Selangor untuk empat hingga lima musim dan ini adalah final kedua, kami gagal ketika berdepan JDT (final Piala FA), kini sekurang-kurangnya kami menang sesuatu untuk penyokong dan pengurusan,” katanya.
Selain memiliki rekod yang baik ketika ini, Selangor FC juga mempunyai kelebihan selepas jentera serangan mereka nampak lebih tajam dan mampu memberi ancaman kepada PDRM FC menjelang aksi final pertama Piala Cabaran.
Tiga peledak yang dimaksudkan ialah Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Ali Olwan dengan trio berkenaan sudah meledakkan 33 gol dalam semua kejohanan musim ini. – UTUSAN










