TOCHIGI: Sebuah zoo di Jepun bertindak melarang lelaki daripada memasuki premis itu secara bersendirian selepas pemilik dan pengunjung wanita dilaporkan menjadi mangsa gangguan.
Zoo Healing Pavilion yang terletak di Wilayah Tochigi mula beroperasi pada Mac tahun lepas, membolehkan pengunjung berinteraksi dengan pelbagai haiwan seperti arnab, kambing biri-biri, memerang dan kucing disamping menyediakan taman khas untuk anjing peliharaan.
Namun, pemiliknya yang dikenali sebagai Misa Mama mengumumkan di platform X pada 26 Januari lalu, zoo tersebut tidak lagi membenarkan lelaki datang seorang diri.
“Mula berkuat kuasa serta-merta, kami tidak akan membenarkan lelaki datang bersendirian ke taman ini,” katanya dalam hantaran yang diterjemahkan secara dalam talian.
“Ini bukan soal saya berprasangka atau tersilap tafsir. Terlalu ramai yang datang dengan niat buruk sehingga memberi tekanan emosi yang amat besar kepada saya.
“Saya merasakan hati ini benar-benar sakit. Kami bukan kelab hiburan, jadi jika anda benar-benar mahu berinteraksi dengan haiwan, sila datang bersama keluarga atau rakan-rakan,” tambahnya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan aduan yang diterima mengenai gangguan terhadap pengunjung wanita mengenai ada lelaki yang datang seorang diri cuba bersembang dengan pengunjung wanita, menggoda mereka, bahkan memberikan komen-komen yang tidak wajar.
Dalam satu hantaran susulan di X, pemilik zoo itu mengakui peraturan baharu tersebut boleh dianggap sebagai diskriminasi gender namun, beliau menegaskan dirinya tidak mempunyai prejudis terhadap lelaki, sebaliknya hanya mahu menjaga keselamatan diri dan pengunjung.
“Jika saya mampu, saya hanya akan menghalang mereka yang berkelakuan tidak sopan.
“Namun, sebagai seorang wanita yang menguruskan zoo ini seorang diri, saya bimbang terhadap kemungkinan tindakan balas daripada mereka yang bermasalah, menyebabkan saya tiada pilihan selain melaksanakan peraturan ini,” katanya.
Menurut terjemahan South China Morning Post, beliau menjelaskan Healing Pavilion bukanlah tempat untuk janji temu atau mencari jodoh.
“Peraturan ini bukan kerana saya sombong atau salah faham terhadap lelaki,” tegasnya.










