KABUL: Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bom berani mati di sebuah bank di utara Afghanistan yang meragut lima nyawa.
Kumpulan itu mendakwa, serangan menyasarkan kakitangan kerajaan Taliban yang sedang mengambil gaji.
Keganasan di Afghanistan berkurangan sejak Taliban kembali berkuasa dan menamatkan pemberontakan mereka pada 2021.
Namun, kumpulan Daesh kerap melancarkan serangan bersenjata dan pengeboman yang mencabar pemerintahan mereka.
Semalam, polis di bandar utara Kunduz melaporkan, serangan berani mati di hadapan sebuah bank mengorbankan lima orang termasuk penjawat awam dan mencederakan tujuh yang lain.
Sayap propaganda Daesh pula mendakwa, seorang pengebom berani mati meletupkan jaket peledaknya ketika anggota Taliban berkumpul di luar sebuah bank awam untuk mengambil gaji mereka.
Sebelum ini, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab atas serangan serupa pada Mac tahun lalu di luar sebuah bank di bandar selatan Kandahar, yang dianggap sebagai pusat spiritual pergerakan Taliban.
Kumpulan Daesh berkata, serangan itu menyasarkan anggota Taliban di luar bank.
Pihak berkuasa Taliban pula melaporkan, hanya tiga orang terkorban dalam insiden tahun lalu, namun sumber hospital mendakwa jumlah korban jauh lebih tinggi iaitu 20 orang.
Sejak kembali berkuasa, kerajaan Taliban telah mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaan utama mereka dan penganalisis berpendapat bahawa mereka berjaya menumpaskan Daesh melalui operasi penguatkuasaan yang meluas.
Namun begitu, kumpulan pengganas tersebut masih aktif dengan menyasarkan pegawai Taliban, pelawat dari luar negara dan diplomat asing.- AGENSI










