KLANG: Malaysia akan membincangkan di peringkat ASEAN tentang isu negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menjadikan rantau ini sebagai ‘tong sampah’ untuk pembuangan plastik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, masalah itu bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah turut berlaku di Indonesia dan Filipina.
Menurutnya, masalah tersebut akan dibawa ke sidang kemuncak sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini bagi menghentikan aktiviti pengimportan sisa plastik untuk dikitar semula di negara ini.
“Sejak China memperketatkan peraturan yang menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik bermula Januari 2018, Malaysia, Indonesia dan Filipina pula berdepan dengan kemasukan sisa plastik dari negara luar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa ‘Mobula 8’, di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Malaysia bukan ‘tong sampah’ dunia dengan membiarkan pihak lain mengambil kesempatan menghantar sisa buangan dan plastik ke negara ini.
Satu daripada penyumbang terbesar ancaman mikro plastik adalah apabila Malaysia menjadi tapak pelupusan plastik dari beberapa negara maju seperti AS, United Kingdom (UK), Belanda, Jepun dan Australia yang pada tahun lalu sahaja dianggarkan 552,000 tan sisa plastik dieksport untuk dilupuskan.
Nik Nazmi ketika itu memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara tersebut dengan memperhalusi kemasukan import plastik ke negara ini.
Selain itu, beliau memberitahu bagi tindakan di peringkat tempatan, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengurangkan pengimportan plastik ke negara ini. – UTUSAN










