UK tangkap 600 pendatang tanpa izin setakat Januari

UK tangkap 600 pendatang tanpa izin setakat Januari

PENDATANG yang ditangkap ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris dari Perancis, turun dari kapal Pasukan Sempadan 'Typhoon' selepas tiba di Marina di Dover, tenggara England, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pasukan penguatkuasaan imigresen United Kingdom (UK) membuat lebih 600 tangkapan pada Januari, meningkat 73 peratus berbanding tempoh yang sama untuk tahun sebelumnya.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan Parti Buruh untuk menangani pendatang tanpa dokumen dan kumpulan penyeludupan manusia.

Menurut kenyataan kerajaan pada Isnin, sebanyak 609 tangkapan, berbanding 352 pada Januari 2024, dilakukan semasa lawatan ke lebih 800 premis termasuk restoran, tempat cuci kereta dan kedai serbaneka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setelah memegang jawatan tahun lalu, Perdana Menteri Buruh, Keir Starmer segera membatalkan rancangan pendahulunya dari Parti Konservatif, Rishi Sunak, untuk menghalang pendatang tanpa izin ke UK dengan menghantar pulang pendatang baharu ke Rwanda.

Sebaliknya, beliau berjanji untuk ‘menghancurkan kumpulan penyeludupan’ bagi mengurangkan jumlah tersebut.

Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper berkata, majikan sudah sekian lama mengeksploitasi pendatang tanpa izin dan terlalu ramai mereka yang masuk serta bekerja secara haram tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Katanya, kerajaan sedang meningkatkan penguatkuasaan tertinggi bersama undang-undang tegas baharu untuk menangani kumpulan penjenayah yang menjejaskan keselamatan sempadan.

Kemasukan pendatang tanpa izin yang menyeberangi Selat Inggeris dengan bot kecil dari utara Perancis ke selatan England menjadi isu utama pada pilihan raya umum Julai lalu, membawa Parti Buruh pimpinan Starmer ke tampuk kuasa.

Seramai 36,816 dikesan menyeberangi Selat Inggeris pada 2024, meningkat 25 peratus daripada 29,437 orang yang tiba pada 2023, menurut angka sementara daripada Kementerian Dalam Negeri.

Sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengurangkan pendatang tanpa izin, Starmer menubuhkan Pasukan Keselamatan Sempadan baharu dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan Eropah, termasuk Europol.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN