SHAH ALAM: Seorang pekerja tukang cuci terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung dalam kejadian tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini, kelmarin.
Akibat kejadian tersebut, lelaki berusia lewat 30-an itu yang sedang menyimpan peralatan mencuci di tingkat P1 terus melarikan diri masuk ke dalam kompleks berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kes tersebut kemudian lari ke aras bumbung di P2 lalu menahan seorang pemandu kereta Perodua Ativa dan mengarahkan individu itu membawanya keluar untuk melarikan diri.
Menurutnya, sebelum menahan kereta terbabit, suspek melepaskan beberapa das tembakan yang sebahagiannya terkena pada cermin tingkap tangga dan pintu gelongsor di aras sama sebelum melarikan diri.
“Suspek kemudian mengacukan pistol kepada pemandu berkenaan dan memaksa lelaki itu untuk membawanya keluar dari kawasan Shah Alam dan ketika melalui sebuah lebuh raya, suspek meminta untuk berhenti di tepi jalan sebelum menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita, semalam.
Jelasnya, polis sudah pun mengenal pasti suspek susulan tujuh laporan polis diterima termasuk daripada tukang cuci dan pemandu berkenaan serta orang awam dan saksi yang berada di tempat kejadian.
“Kesemua saksi sudah diambil keterangan oleh polis termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan.
“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dan berkulit cerah.
“Polis sedang giat mengesan untuk menangkap suspek yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Motif kejadian masih di siasat,” tambahnya.
Hussein Omar berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan usaha memburu lelaki tersebut sedang dilakukan.
“Sekiranya ada keperluan, fotofit suspek akan diedarkan ke kontinjen lain bagi menjejakinya.
“Bagaimanapun, Kontinjen Selangor kini sedang memburu suspek dipercayai masih berada dalam negeri ini,” katanya.
Menurut Hussein, pihaknya akan menghantar peluru ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik.
Katanya, pihak polis telah menerima tujuh laporan polis yang dibuat oleh saksi awam.
“Mereka yang melihat atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad menerusi talian 016-7252948,” katanya. – UTUSAN










