PETALING JAYA: Peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat sudah mula mendaftar menjadi ahli ‘The Wing’ dalam usaha membantu skuad Sang Kenari keluar daripada kemelut kewangan.
Berdasarkan laman Facebook Kedah Darul Aman FC, jumlah peminat yang telah mendaftar mencecah seramai 5,000 orang sehingga pukul 4 petang semalam dan ia dijangka bertambah dari masa ke semasa.
“Masih berbaki 15,000 lagi untuk merealisasikan misi 20,000 ahli The Wing!. Ayuh penyokong setia Sang Kenari, sertai keluarga besar ini sekarang dan tunjukkan sokongan padu anda,” kata kelab itu menerusi kenyataan di Facebook.
Sasaran 20,000 yang diletakkan kelab itu adalah bagi menarik minat dan meyakinkan pihak penaja dengan keupayaan kelab yang memiliki jumlah penyokong besar.
Utusan Malaysia melaporkan semalam, peminat skuad bola sepak Kedah dirayu mendaftar menjadi ahli ‘The Wing’ bagi membantu Sang Kenari keluar daripada masalah kewangan ditanggung selama ini.
Talian hayat itu antara salah satu usaha dilakukan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan ia turut menawarkan banyak faedah dan manfaat kepada ahli yang mendaftar.
Objektif utama langkah ini diambil adalah bagi menarik minat penaja-penaja yang berpotensi sekali gus mampu memulihkan kedudukan ‘kantung’ kelab.
Sang Kenari yang satu ketika dahulu merupakan antara gergasi bola sepak tempatan namun kini berdepan masalah kewangan yang parah sehingga tidak mampu membayar gaji pemain, jurulatih dan pengurusan hingga berbulan-bulan. – UTUSAN











