Alliance Bank umum Program Bantuan Banjir bantu pelanggan terjejas banjir - Utusan Malaysia

Alliance Bank umum Program Bantuan Banjir bantu pelanggan terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mengumumkan Program Bantuan Banjir yang dibuka untuk permohonan sehingga 3 Mac 2025 bagi membantu meringankan beban kewangan pelanggan terjejas akibat banjir yang melanda Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Bantuan ini merangkumi pilihan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian pembayaran pinjaman, serta pengecualian caj dan bayaran tertentu bagi pelanggan dan perniagaan yang terkesan oleh bencana banjir di beberapa negeri di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, kebajikan pelanggan yang terkesan adalah keutamaan syarikat kerana memahami tekanan emosi dan kewangan yang dihadapi oleh keluarga dan perniagaan akibat banjir. 

“Sebagai The Bank For Life, Alliance Bank sentiasa bersama pelanggan kami, terutamanya dalam masa yang mencabar ini. 

“Kami berharap program Bantuan Banjir ini akan menggalakkan mereka tampil untuk berbincang mengenai bagaimana kami dapat membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas beliau, bank juga menyediakan bantuan kepada kakitangan yang turut terjejas bagi membantu mereka mengharungi tempoh sukar ini.

“Ia menawarkan kelonggaran pembayaran bagi semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islamik. 

“Bank juga akan mengecualikan caj dan bayaran bagi perkhidmatan tertentu seperti penggantian kad debit, kad ATM, buku cek dan buku simpanan yang hilang atau rosak akibat banjir.

“Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan banjir ini, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Khidmat pelanggan kami di 03-5516 9988 atau menghubungi pengurus hubungan mereka secara langsung,” katanya. 

Tambah Kam, semua permohonan bantuan akan dinilai oleh Bank berdasarkan kes demi kes.

Sebelum ini, Alliance Bank turut mengumumkan satu lagi inisiatif bagi menyokong komuniti yang terkesan akibat banjir di Kelantan, Kedah dan Terengganu melalui kempen kutipan dana Bantuan Banjir di platform pembiayaan ramai SocioBiz di bawah Alliance Islamic Bank. 

Inisiatif ini kini diperluaskan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak.

Untuk memaksimumkan impak, Bank akan menggandakan setiap RM1 yang didermakan dengan RM2, menjadikan jumlah sumbangan tiga kali ganda bagi membantu mangsa banjir.

Kempen ini, yang berlangsung dari 20 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025, menjemput semua rakyat Malaysia untuk turut serta dan menyokong mereka yang memerlukan. 

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada Malaysian Relief Agency (MRA), sebuah rakan strategik yang dipercayai dan dikenali kerana usaha bantuan bencana yang berkesan.

Inisiatif Bank ini bertujuan untuk menangani keperluan segera dan jangka panjang mangsa banjir melalui pendekatan dua fasa. 

Dalam pada itu, Kam memaklumkan, Fasa 1 akan memberi tumpuan kepada keperluan asas seperti makanan sedia dimakan, barangan keperluan bayi, set tempat tidur, kit kebersihan dan barangan kritikal lain. 

“Fasa 2 pula akan menyediakan sokongan tambahan termasuk peralatan dapur, bantuan perubatan (klink bergerak), peralatan pembersihan dan pek makanan bagi memenuhi keperluan pasca banjir.

“Orang awam boleh membantu rakan senegara yang terkesan akibat banjir dengan menyumbang kepada kempen kutipan dana Bantuan Banjir Bank ini, sama ada dengan mengimbas kod QR atau melayari laman web https://globalsadaqah.com/campaigns/aib-mra-floods-2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×