Masa depan USAID makin samar, beri impak kepada program kemanusiaan dunia

Masa depan USAID makin samar, beri impak kepada program kemanusiaan dunia

PENUNJUK perasaan mengadakan protes di luar ibu pejabat USAID di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Masa depan agensi bantuan luar negara utama Amerika Syarikat (AS) kini diragui selepas pentadbiran Donald Trump merancang untuk menggabungkannya dengan Jabatan Negara.

Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) akan terus berfungsi sebagai cabang jabatan negeri, tetapi rancangan itu melibatkan pengurangan besar dalam pembiayaan serta tenaga kerjanya, lapor CBS News.

Presiden AS dan penasihat utamanya yang juga jutawan terkenal, Elon Musk antara individu yang sangat mengkritik agensi tersebut.

Namun, langkah untuk menutup atau merombak USAID mungkin memberi impak kepada program kemanusiaan di seluruh dunia.

FUNGSI USAID

Agensi itu ditubuhkan pada awal 1960-an untuk menguruskan program bantuan kemanusiaan bagi pihak kerajaan AS di seluruh dunia.

USAID mempunyai pangkalan di lebih 60 negara dan beroperasi di puluhan negara lain, dengan kebanyakan kerja di lapangan dilaksanakan oleh organisasi berbeza yang diupah serta dibiayai oleh agensi itu.

Bukan sahaja menyediakan makanan di negara-negara yang mengalami krisis kelaparan, ia juga mengendali sistem pengesanan kebuluran terbaik di dunia yang menggunakan analisis data untuk meramalkan tempat berisiko mengalami kekurangan makanan.

Sebahagian besar bajet USAID dibelanjakan untuk program kesihatan, seperti memberikan vaksin polio di negara yang masih menular dan membantu menghentikan penyebaran virus berpotensi menyebabkan wabak.

Menurut data kerajaan, AS membelanjakan AS$68 bilion (RM303 bilion) untuk bantuan antarabangsa pada 2023.

Jumlah itu dibahagikan di antara beberapa jabatan dan agensi, tetapi bajet USAID merangkumi lebih daripada separuh jumlah tersebut, sekitar AS$40 bilion (RM178 bilion).

Sebahagian besar wang itu dibelanjakan di Asia, sub-Sahara Afrika dan Eropah terutamanya untuk usaha kemanusiaan di Ukraine.

AS merupakan negara yang berbelanja paling besar untuk pembangunan antarabangsa.

ROMBAK USAID

Trump dan Musk berusaha untuk merombak USAID kerana berpendapat bahawa ia tidak memberikan nilai yang setimpal bagi pembayar cukai di AS.

Trump sangat mengkritik agensi itu dan menyifatkan pegawai kanannya sebagai ‘gila dan radikal’.

Penghapusan agensi itu berkemungkinan besar akan mendapat sokongan popular, memandangkan kajian sebelum ini menunjukkan pengundi AS lebih cenderung menyokong pemotongan perbelanjaan bantuan luar negara.

Satu daripada tindakan pertama Trump selepas kembali memegang jawatan ialah menandatangani perintah eksekutif yang menangguhkan hampir semua perbelanjaan antarabangsa selama 90 hari sementara semakan dilakukan.

Kemudian, satu memo dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS yang menghentikan sebahagian besar kerja yang dilakukan di lapangan.

Pengecualian kemudiannya diberikan untuk program kemanusiaan, tetapi pengumuman itu mengubah dunia pembangunan antarabangsa dan menyebabkan gangguan meluas kepada perkhidmatan.

Program penting termasuk menyediakan ubat kepada golongan termiskin dunia dan memasang bekalan air bersih terpaksa dihentikan.

Bahkan, ketegangan antara Rumah Putih dan USAID semakin memuncak hujung minggu lalu, apabila pegawai Elon Musk yang ditugaskan Trump untuk mengenal pasti pemotongan perbelanjaan dalam belanjawan Persekutuan dinafikan akses untuk memperoleh data kewangan di ibu pejabat agensi tersebut.

BOLEHKAH BUBAR USAID?

Walaupun jelas Rumah Putih mempunyai pengaruh yang besar terhadap USAID, kuasa itu secara teori adalah terhad.

USAID ditubuhkan selepas Kongres meluluskan Akta Bantuan Luar Negara pada 1961, di mana ia mengarahkan supaya sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengurus perbelanjaan luar negara.

Selepas ditubuhkan oleh Presiden John F. Kennedy, satu lagi undang-undang diluluskan pada 1988 yang mengesahkan status USAID sebagai agensi eksekutif yang berdiri sendiri.

Ini bermakna, Trump tidak semestinya boleh membubarkan USAID hanya dengan menandatangani perintah eksekutif, dan sebarang percubaan berbuat demikian hampir pasti akan menghadapi cabaran di mahkamah serta Kongres.

Menutup USAID sepenuhnya mungkin memerlukan akta dari Kongres, di mana Parti Republikan pimpinan Trump memegang majoriti tipis di kedua-dua dewan.

Satu pilihan yang boleh dipertimbangkan pentadbiran Trump adalah menjadikan USAID sebagai cabang Jabatan Negara, berbanding agensi kerajaan yang berdiri sendiri.

Memandangkan jumlah pembiayaan yang besar datang dari AS, sebarang perubahan mengenai bagaimana wang itu dibelanjakan pasti akan dirasai di seluruh dunia.

Sebelum ini, Trump menegaskan mahu perbelanjaan luar negara diselaraskan dengan pendekatan ‘America First’, dan sektor pembangunan antarabangsa kini bersedia menghadapi lebih banyak kejutan.

Terdapat juga persoalan mengenai jumlah yang akan dibelanjakan AS di luar negara pada masa akan datang, memandangkan Musk berusaha untuk memotong berbilion dolar daripada belanjawan kerajaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×