GOPENG: Pertumbuhan drastik sekitar 10 buah resort dan sewaan unit khemah konsep glamping di Kampung Chulek di sini yang menawarkan aktiviti lasak di darat dan air seperti redah jeram, berkayak, menjelajah gua, mendaki bukit dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Kewujudan prasarana dan aktiviti itu menyumbang kepada peluang pekerjaan, perniagaan restoran dan makanan diusahakan penduduk kampung serta peningkatan nilai hartanah semasa.
Ketua Kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mahathir Mohd. Ali, 47, berkata, faktor-faktor itu menjadi pemangkin baginya untuk mewujudkan sebuah kedai cenderamata yang dikenali Galeri Seni Chulek.
“Sejak dibuka dua bulan lalu, kedai yang beroperasi setiap hari ini mendapat sambutan menggalakkan pelanggan-pelanggan 10 buah resort dan sewaan unit khemah konsep glamping sekitar kampung.
“Setakat ini, kami telah menggamit kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa seperti Australia, Jerman, Belanda, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan untuk membeli barangan cenderamata di kedai kami seperti baju-t, mug dan rantai kunci yang kami hasilkan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dana operasi kedai itu daripada peruntukan Program Sejahtera Komuniti Madani sebanyak RM100,000.
Katanya, galeri itu menghasilkan sendiri rekaan dan mencetak cenderamata seperti baju-t, jersi, topi, mug dan beg sandang berlatarbelakang aktiviti lasak darat dan air di kampung itu selain mengikut citarasa pembeli sendiri. – UTUSAN











