90 peratus penghidap HIV di Malaysia lelaki

90 peratus penghidap HIV di Malaysia lelaki

STIGMA negatif terhadap pesakit HIV dan AIDS membantutkan usaha mencegah penularan penyakit itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 90 pe­ratus daripada 85,283 penghi­dap HIV di negara ini merupakan golongan lelaki berbanding wanita hanya 10 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan Pemantauan AIDS Global (Malaysia) dikeluarkan pada 2024 menunjukkan, penghidap HIV terbanyak adalah daripada kumpulan umur 20 ke 29 tahun iaitu sebanyak 44 pe­ratus, diikuti mereka berumur dari 30 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 31 peratus.

Statistik itu juga mendedahkan bahawa Selangor mencatat kes tertinggi keseluruhan HIV pada 2023 dengan 1,062 orang diikuti Kuala Lumpur seba­nyak 357 orang, Sabah (320), Sarawak (248) dan Johor (236).

Data sama juga menyak­sikan 84 peratus dari jumlah ter­sebut atau 71,927 orang mengetahui status mereka serta telah dimaklumkan melalui sistem pengawasan negara.

Jangkitan HIV didapati berpunca daripada hubungan seks sesama lelaki, manakala peratusan lebih kecil berpunca amalan seks dengan jantina berlainan dan berkongsi peralatan suntikan.

Lebih menyedihkan, 68 pe­ratus daripada keseluruhan jumlah pesakit pada 2023 di­diagnos lewat, ia menunjukkan peningkatan dari tahun sebelum dan perlunya kempen kesedaran ditingkatkan terhadap golongan berisiko tinggi.

DR. ADEEBA KAMARULZAMAN

Pengerusi Yayasan AIDS Ma­laysia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, tren jangkitan HIV menunjukkan bahawa hubungan sek­sual tanpa perlindungan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kes tersebut.

Antara lain, kata beliau, faktor utama yang menyumbang kepada trend tersebut adalah kurangnya pengetahuan mengenai pencegahan HIV seperti penggunaan kondom dan te­rapi pencegahan pra-pendedahan (PrEP).

Malah katanya, peningkatan pergaulan seks tanpa perlin­dungan dalam kalangan golo­ngan muda turut membimbangkan.

“Selain itu, stigma sosial terhadap HIV menghalang ramai individu berisiko daripada mendapatkan ujian saringan dan rawatan yang diperlukan. Kumpulan berisiko tinggi se­perti lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki dan individu yang terlibat dalam pekerjaan seks, juga mencatatkan kadar jangkitan yang lebih tinggi.

“Walaupun terdapat usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran dan akses kepada rawatan, hubungan seksual tanpa perlindungan terus menjadi faktor utama penye­baran HIV di Malaysia,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Kata beliau, walaupun ke­rajaan sentiasa menyediakan rawatan secara percuma kepada golongan terkesan, namun masih lagi ramai yang tidak mahu mendapatkan rawatan atas faktor stigma masyarakat.

“Stigma menyebabkan individu enggan tampil mendapat­kan rawatan atau menjalani ujian awal kerana takut de­ngan reaksi masyarakat.

“Ketakutan terhadap diskri­mi­nasi, terutamanya di tempat kerja dan dalam komuniti, sering membuatkan pesakit memilih untuk berdiam diri walaupun mereka mengetahui status kesihatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, stigma itu bukan sahaja menyulitkan akses kepada rawatan tetapi juga menyumbang kepada penula­ran HIV yang tidak terkawal.

“Mereka yang tidak dirawat bukan sahaja berisiko menga­lami komplikasi kesihatan yang serius, tetapi juga boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain tanpa disedari,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN