Kos pesawah naik 55 peratus akibat penyasaran subsidi diesel

Kos pesawah naik 55 peratus akibat penyasaran subsidi diesel tahun lalu

pesawah berhimpun memohon harga lantai padi RM1,800 di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya baru-baru ini. – UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos pesawah melonjak sebanyak 55 peratus akibat pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak tahun lalu antara alasan utama kerajaan dituntut meningkatkan harga lantai pembelian beras kepada RM1,800 berbanding RM1,300 satu tan.

Jumlah itu disifatkan adil kepada pesawah bagi mengimbangi peningkatan kos yang ditanggung golongan tersebut pada setiap musim penanaman padi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penyasaran subsidi diesel bermula tahun lalu mengakibatkan kos petani untuk melakukan aktiviti bersawah meningkat.

Pada masa sama, katanya, petani juga berdepan dengan isu benih tidak berkualiti, harga baja dan racun meningkat serta perubahan iklim yang mengakibatkan hasil padi menurun.

“Sejak empat musim kebelakangan ini, hasil padi di keba­nyakan kawasan menurun iaitu sekitar lima tan bagi setiap hektar berbanding tujuh tan bagi setiap hektar.

“Hasil dituai itu menunjukkan penurunan jauh di bawah KPI (petunjuk prestasi utama) selamat. Ia bukan disebabkan petani mengejar harga lantai dan sebagainya sebaliknya berpunca daripada faktor luar yang di luar kawalan petani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar yang meminta pesawah menukar pemikiran daripada terlalu ‘mengejar’ harga belian padi bagi me­ningkatkan hasil, beliau berkata, pihaknya amat terguris dengan kenyataan tersebut.

Beliau berkata, secara logiknya, tiada pesawah yang hendak menanam padi untuk memperoleh hasil rendah.

“Sepatutnya beliau tahu de­ngan cuaca tidak menentu, tahap kesihatan pesawah, kualiti benih dengan risiko banjir serta sera­ngan penyakit, ia mempengaruhi hasil dituai.

“Gesaan kami untuk memperoleh harga belian tinggi bukan disebabkan tak mahu meningkatkan produktiviti sebaliknya bagi mengimbangi kos yang me­ningkat,” katanya.
Abdul Rashid berkata, sebahagian besar pesawah kini bersawah dan menuai hasil dalam keadaan menanggung kerugian dengan harga belian beras RM1,300 satu tan.

“Macam mana kami hendak teruskan bersawah kalau terpaksa menanggung kerugian? Oleh kerana itu, kerajaan perlu menaikkan harga lantai belian beras kepada RM1,800,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz dilaporkan meminta pesawah menukar pemikiran daripada terlalu ‘mengejar’ harga belian padi yang tinggi kepada usaha untuk meningkatkan hasil yang lebih banyak sebagai langkah menambah pendapatan.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan petani hanya dapat menghasilkan kira-kira empat tan padi sehektar.

“Ada pula cuma hasilkan dua tan padi saja sebab mereka kejar harga. Apabila kilang beli harga RM1,800, mereka kata tak buat sungguh-sungguh pun tak apa kerana harganya tinggi sedangkan jumlah itu tak berbaloi untuk sehektar sawah, ada orang lain dapat hasilkan antara tujuh hingga 12 tan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×