Pemilihan PKR: Hubungan Anwar, Zahid jadi pertimbangan

Pemilihan PKR: Hubungan Anwar, Zahid jadi pertimbangan

ANWAR IBRAHIM dan AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengemudi parti bagi memastikan hubu­ngan dengan UMNO terus berada dalam keadaan baik dan kerjasama dapat diteruskan untuk pilihan raya akan datang.

Penganalisis politik, Mujibu Abd. Muis berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri mempunyai hubungan sangat baik dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan hubungan tersebut boleh menjamin kerjasama antara dua parti.

Menurut beliau, PKR juga tidak mempunyai sebab untuk menggantikan Anwar sebagai Presiden memandangkan beliau sudah membuktikan kepemim­pinannya bukan sahaja terhadap parti tetapi juga dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persepsi hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan itu banyak dibentuk berdasarkan hubungan baik di antara Anwar dan Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menterinya.

“Ini mungkin menjadi antara intipati yang menjadi pertimbangan PKR untuk melihat tidak ada cabaran terhadap pemimpinya itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR dijangka tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu Mei ini.

Hal ini dijangka berlaku susulan rundingan dalaman yang sedang dijalankan bagi memastikan status quo Anwar dan Datuk Seri Rafi­zi Ramli kekal memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR.

Dalam pada itu, Mujibu ber­kata, penggal akan datang dijangka menjadi tempoh akhir untuk Anwar mengetuai PKR.

“Ia akan menjadi penggal terakhir untuk Anwar dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), PKR barangkali akan memilih Presiden dan Timbalan Presiden baharu.

“Buat masa sekarang, me­ngekalkan Anwar dan Rafizi merupakan langkah yang tepat dari PKR memandangkan sinergi dua pemimpin tersebut boleh diteruskan hingga pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Tambahnya, PKR bukan parti yang ketandusan pemimpin pelapis kerana parti itu mempu­nyai banyak pemimpin muda.

“PKR banyak didukung oleh orang-orang muda ketika era reformasi maka mereka ini walaupun muda tetapi kerjaya politiknya sudah panjang. Antara Rafizi, Nurul Izzah Anwar dan Chang Lih Kang,” ujarnya.

“Saya tidak rasa PKR akan ketandusan pemimpin kerana di lapisan ketiga parti itu mempunyai banyak pemimpin muda seperti Dr. Mohammed Taufiq Johari, Fahmi Fadzil dan Adam Adli Abd Halim yang berpotensi untuk ke atas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini