Kerajaan diingatkan jangan ‘pusing’ – Mas Ermieyati

Kerajaan diingatkan jangan ‘pusing’ – Mas Ermieyati

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin ke­rajaan digesa untuk menggunakan persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini sebagai ‘pentas’ untuk mereka membe­rikan jawapan telus kepada isu dibangkitkan pemimpin pem­bangkang terutama melibatkan kesejahteraan rak­yat.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, blok pembangkang akan terus mengasak kerajaan dengan membangkitkan isu rak­yat terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu memberikan jawapan yang tuntas dan tidak berdalih seperti mana dilakukan dalam persidangan Dewan Rakyat terdahulu.

“Pada sidang yang lepas, banyak kali ahli-ahli Parlimen merungut kerana menteri tidak menjawab soalan dibangkitkan, sebaliknya menggunakan masa yang diperuntukan untuk mereka membuat penerangan sahaja. Perkara yang tidak dita­nyalah mereka terangkan.

“Apabila kita mintak jawapan secara bertulis, ramai dari kala­ngan ahli Parlimen pembangkang tidak menerimanya dari kementerian ber­kaitan walaupun sidang sudah habis. Jadi kita harap kali ini, ke­erajaan se­rius dan komited dengan apa di­pertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya ketika dihu­bungi Utusan Malaysia.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini akan di­mulakan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersempena dengan pembukaan penggal Parlimen ke-15 kali ini.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari iaitu hingga 6 Mac ini dan menyaksikan pelbagai Rang Undang-Undang (RUU) dan usul dibawa kerajaan, selain menjawab soalan dari blok pembangkang.

Mas Ermieyati yang juga Ke­tua Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau secara peribadi akan memberikan fokus terhadap isu-isu melibatkan industri pelancongan negara.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan portfolio saya, akan menjadi antara tumpuan dan perhatian oleh saya selain daripada isu rakyat lain,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) tidak menolak sekiranya isu Titah Adendum melibatkan bekas Per­dana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibangkitkan dalam sidang kali ini.

“Saya baru balik umrah, jadi tentang (Titah Adendum) itu saya tidak boleh komen, boleh tanya pada ahli Parlimen lain kerana semasa perbincangan itu saya tidak ada,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×