Paijang berlapang dada, sedia maafkan pelaku

Paijang berlapang dada, sedia maafkan pelaku

AHMAD NOR Al Faizan Jusoh dan isteri melihat kelengkapan untuk menunaikan umrah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Mak Chili, Kemaman, Terengganu semalam.- UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang dibelasah di pasar pagi di Padang Astaka Chukai di sini, baru-baru ini, berlapang dada dan bersedia memaafkan pelakunya.
Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali Paijang berkata, dia akan menerima pelaku dengan baik sekiranya mereka tampil meminta maaf.

“Kalau mereka (pelaku) datang meminta maaf de­ngan cara baik, saya tidak akan menolak permintaan mereka, saya akan sambut dengan baik. Namun sehingga kini tiada yang datang minta maaf.

“Kita semua duduk di Chukai, bandar ini bukanlah besar mana pun. Pergi mana-mana pun akan jumpa individu sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Paijang berkata, dia ba­gaimanapun menyerahkan kepada peguamnya sama ada untuk mengambil tindakan saman terhadap pelaku.

“Mengenai tindakan saman, kami sekeluarga serahkan kepada peguam untuk membuat keputusan,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia dan iste­rinya, Faridah Abdul Karim, 44, menganggap segala yang berlaku itu sebagai ujian daripada Allah SWT untuk mereka.

“Allah nak uji saya. Selepas diuji dengan masalah saya dan isteri pada Ogos tahun lalu, Allah uji pula dengan kejadian ini.

“Namun, di sebalik ujian ini, Allah berikan rezeki yang besar buat kami dengan menjemput kami ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya.

Menurutnya, dia dan isteri serta anak lelaki mereka, Ahmad Fakhrie, 19, akan berangkat menunaikan umrah pada 17 Februari ini tajaan syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd.

“Insya-Allah, pada April saya dan isteri sekali lagi akan menunaikan umrah bersama anak-anak iaitu hadiah pakej umrah daripada seorang individu yang menggelarkan diri sebagai ‘Datuk Seri Sultan Pemurah’ atau Datuk Seri Salim, dari Pulau Pinang. Tarikh asal pada bulan Mei, namun diawalkan sebulan.

“Rezeki menunaikan umrah ini memang tak disangka-sangka, apatah lagi dapat ke sana bersama keluarga. Saya memang lama berhajat untuk ke tanah suci, Alhamdulillah di sebalik ujian yang Allah berikan, saya dapat hadiah yang tidak ternilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini