Baru-baru ini tular cerita yang menggemparkan seorang kanak-kanak hilang penglihatan ketika sedang belajar di sekolahnya. Hasil pemeriksaan doktor, kanak-kanak itu mengakui kerap makan sosej dan mengalami kekurangan vitamin A.
Kejadian ini pastinya membimbangkan ibu bapa terutama apabila mengenangkan masa depan anak yang terpaksa menjalani kehidupan berbeza akibat tidak dapat melihat .
Persoalannya, apakah kaitan makan sosej dengan mata dan bagaimana ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan secara tiba-tiba?
Pakar Mata dan Pensyarah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhd Syafi Abd. Bari berkata, kehilangan penglihatan secara tiba-tiba dalam kalangan kanak-kanak adalah jarang berlaku tetapi boleh memberi kesan besar kepada kehidupan mereka.

“Sosej dan makanan-makanan diproses lain sering kali mengandungi bahan tambahan seperti pengawet dan kandungan garam yang tinggi dan lemak trans.
“Pengambilan berlebihan makanan yang diproses ini boleh membawa kepada kekurangan nutrisi penting, terutamanya vitamin A yang sangat diperlukan untuk kesihatan mata terutamanya retina mata, “ katanya.
Katanya lagi, sosej mengandungi kadar garam dan lemak yang tinggi. Ini boleh mengganggu penyerapan nutrisi penting, seperti vitamin A, D dan E yang diperlukan untuk fungsi mata yang sihat.
Selain itu, nitrat dan bahan pengawet lain dalam sosej juga boleh memberikan kesan buruk kepada tubuh secara keseluruhan.Makanan segera seperti kentang goreng, burger, dan minuman berkarbonat dan bergula tinggi juga boleh menyumbang kepada kekurangan nutrisi.
“Kekurangan ini boleh menyebabkan kerosakan retina dan mempercepatkan proses degenerasi makula, terutama jika diamalkan dalam tempoh yang kerap dan jangkamasa yang lama.
“Degenerasi makula biasanya dialami orang tua di mana penglihatan pusat hilang kerana kerosakan pada makula (bahagian pusat retina). Bagi kanak-kanak, ia mungkin disebabkan oleh keturunan,”katanya.
Makula adalah kawasan kecil di dalam retina yang lebih sensitif berbanding kawasan lain di dalam mata. Makula memberikan penglihatan pusat yang membolehkan kita melihat objek kecil seperti membaca, memasukkan benang ke dalam jarum, tulisan yang kecil dan membaca papan tanda jalan.
Makula kanak-kanak yang sering berlaku adalah penyakit Stargardt disease. Penyakit lain seperti Best’s dan retinoschisis juvana iaitu penyakit yang jarang berlaku dan menyebabkan kehilangan penglihatan pusat.
Kekurangan vitamin A
Dalam kes tertentu, kekurangan vitamin A boleh menyebabkan rabun malam, xerophthalmia iaitu permukaan mata menjadi kering akibat kegagalan kelenjar air mata berfungsi, masalah pertumbuhan dan perkembangan mata bahkan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.
“Selain itu, kanak-kanak yang kekurangan vitamin A boleh mempunyai sistem imun yang lemah dan masalah tumbesaran. Kanak-kanak berumur 1 hingga 8 tahun memerlukan kira-kira 300-400 mikrogram vitamin A setiap hari.
“Vitamin A boleh didapati daripada makanan seperti sayuran berwarna oren, lobak, labu dan keledek. Produk tenusu iaitu susu dan keju juga mengandungi vitamin A. Sumber vitamin A dalam ikan seperti ikan berlemak seperti salmon dan tuna, “ katanya.
Katanya lagi, galakkan juga anak makan sumber vitamin A daripada buah-buahan seperti mangga dan betik. Diet lain yang baik untuk kesihatan mata kanak-kanak adalah Omega-3 yang boleh didapati daripada ikan seperti salmon atau biji chia.
Lutein dan zeaxanthin pula boleh didapati daripada sayur-sayuran hijau seperti bayam dan brokoli. Ia adalah dua nutrien penting yang mempunyai fungsi antioksida dalam badan dan membantu mencegah kerosakan sel.
“Amalan terbaik untuk mencegah kerosakan mata anak-anak adalah dengan menggalakkan diet seimbang. Kurangkan waktu skrin dan pastikan pencahayaan yang baik semasa membaca buku atau menonton.
“Lakukan pemeriksaan mata berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun. Ajar anak-anak menjaga kebersihan mata seperti tidak menggosok mata dengan tangan kotor, “ katanya.
Rawatan
Pada masa ini, tiada rawatan boleh menyembuhkan penyakit makula degenerasi juvana. Namun rawatan tertumpu kepada bantuan untuk penglihatan seperti cermin mata. Penyelidik juga sedang menjalankan kajian untuk memperlahankan kesan kehilangan penglihatan disebabkan oleh keturunan atau genetik.
Kanak-kanak juga perlu menjalani latihan pergerakan untuk membantu mereka menyesuaikan diri selepas kehilangan penglihatan dan seterusnya bergerak dengan selamat. Kaunseling untuk kanak-kanak dan keluarga juga penting. Galakkan juga anak memakai cermin mata dengan perlindungan sinar ultra ungu bagi melindungi mata yang sensitif.
“ Pemeriksaan berkala dengan pakar mata sangat penting untuk mengesan masalah penglihatan lebih awal terhadap kanak-kanak.
“Apa yang menyedihkan apabila kehilangan penglihatan tidak dapat dipulihkan. Kesihatan mata tanggungjawab kita bersama. Memberikan perhatian kepada pemakanan dan gaya hidup sekeluarga, kita dapat mencegah masalah yang serius,” katanya. – UTUSAN










