Muktamad segera harga belian padi RM1,800

Muktamad segera harga belian padi RM1,800

PARA pesawah di negara ini menggesa kerajaan segera memuktamadkan tuntutan mereka menaikkan segera harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Para pesawah menggesa kerajaan segera memuktamadkan tuntutan mereka agar harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik.

Luah pesawah, harga beli­an padi serendah RM1,300 itu bakal menyebabkan pesawah me­ngalami kerugian dan susut pendapatan sehingga 70 peratus memandang kos mengusahakan tanaman ketika ini mencecah sehingga RM2,038 bagi keluasan 0.3 hektar.

Ia merangkumi sewa bendang paling rendah RM600, kos trekta RM340, mesin batas dua kali RM40, benih padi bagi tiga kampit RM180, upah mesin padi RM180, upah racun rumput RM110 dan banyak lagi kos lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, ada pesawah yang mengusahakan tanaman di keluasan 0.3 hektar hanya mampu memperolehi pendapatan bersih RM200 sahaja selepas enam bulan bertungkus-lumus di bendang.

Mereka mempersoalkan sikap kerajaan mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan masalah pesawah yang sudah tidak mampu lagi bertahan dengan lonjakan kos tanaman ketika harga belian padi menjunam sehingga RM1,300.

Seorang pesawah, Che Fariz Izani Che Ya,36, berkata, kerajaan perlu segera memuktamadkan segera harga lantai belian padi kepada RM1,800 atau sekurang-kurangnya RM1,600 per tan bagi memberi sedikit kelegaan kepada pesawah yang sangat tersiksa.

Katanya, dia juga hairan me­ngapa kerajaan masih tidak menetapkan keputusan berhubung tuntutan pesawah itu.

Ujarnya, dia yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas 20 hektar dengan kos tanaman melebihi RM100,000 itu juga dijangka mengalami kerugian musim ini jika harga belian padi masih kekal RM1,300.

“Kos mengusahakan tanaman merangkumi jentera, upah, input pertanian dan sebagainya semuanya meningkat. Bagi satu hektar kos mencecah RM5,000 dan jika harga belian padi ha­nya sekitar RM1,300, bagaimana kami hendak untung.

“Malah, jika hasil kali ini, hanya sekitar 1.3 tan per hektar, kami hanya memperoleh pendapatan sekitar RM4,600. Sudah pastinya rugi. Jika hasil padi mencecah 1.5 tan metrik ke atas, mampulah kami memperoleh sedikit keuntungan.

“Kita harap sangat kerajaan segera muktamadkan harga belian padi RM1,800. Nak tunggu sampai bila lagi. Adakah kerajaan hendak melihat pesawah terpaksa berhenti mengusaha­kan tanaman kerana sudah ti­dak mampu lagi menanggung beban,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mengemukakan dua tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu harga lantai padi dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman.

Himpunan yang diadakan di seluruh negara bagi menuntut harga lantai belian padi kepada RM1,800 itu agar kerajaan mendengar rintihan dan kesusahan golongan berkenaan.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob dilaporkan berkata, pihak­nya bersama 10 orang wakil ba­dan tersebut menyerahkan me­morandum itu kepada Setia­usaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai sekali gus mem­beri jaminan akan ada sesi perbincangan khas dengan pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Sementara, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula memberi jaminan untuk ‘turun padang’ bagi menilai sendiri isu padi.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Noor Hashim, 62, berkata, jaminan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membawa isu berkenaan di dalam sesi Parlimen akan datang dilihat agak terlalu lambat memandangkan pesawah ketika ini sudah mula menuai hasil.

“Kita juga tidak faham mengapa susah sangat kerajaan hendak naikkan harga lantai belian padi ini sedangkan semua sedia maklum pesawah memang teruk terkesan ketika ini. Pesawah sudah tidak tahan lagi, semua kos naik dan harga belian padi pula rendah.

“Harga belian padi yang menjunam pada paras lantai RM1,300 sudah tidak relevan memandangkan kos jentera, tenaga manusia dan input pertanian meningkat sekitar 30 peratus. Kami berharap sangat kerajaan tolonglah dengar rintihan para pesawah ini,” katanya.

Selain itu, katanya, isu ketiadaan bekalan beras tempatan yang sudah berlarutan lebih dua tahun juga masih tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan.

“Setahun, kita hasilkan 64 peratus keperluan bekalan beras tempatan atau 1.8 hingga dua juta tan metrik namun mengapa beras tempatan masih tidak ada di pasaran. Sekarang sangat teruk dan saya lihat keadaan industri 10 tahun lalu adalah jauh lebih baik berbanding sekarang. Dahulu, kira jarang mendengar masalah-masalah seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini