Olahan vintaj, moden dalam konsep eklektik

Olahan vintaj, moden dalam konsep eklektik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Awalnya, kediaman ini mengetengahkan konsep rumah ladang yang sememangnya menjadi trend peminat hiasan dalaman sejak beberapa tahun kebelakangan.

Namun, lama-kelamaan pemiliknya, Norsazilawati Saad,41, mula berevolusi kepada satu konsep baharu iaitu eklektik atau gabungan dekorasi yang memberikan sentuhan unik kepada kediaman teres dua tingkat ini.

Norsazila yang merupakan Pensyarah berkata, konsep eklektik diolah daripada pelbagai sumber termasuk klasik vintaj, moden kontemporari, rumah ladang dan banyak lagi.

“Saya memilih konsep ini kerana saya berpendapat kita tidak perlu mengehadkan dekorasi rumah pada satu-satu konsep sahaja.

“Kelebihan konsep eklektik atau gabungan mengikut cita rasa sendiri akan menghasilkan dekorasi unik dan mempunyai karismanya yang tersendiri. Di samping itu, saya rasa lebih mudah untuk mencari barang hiasan dengan syarat kita pandai suai padan,” katanya kepada Seri.

ruangan dapur dilatari rona putih dan kemasan kayu.

PILIHAN PERABOT

Konsep eklektik yang melatari keseluruhan ruang kediaman itu disempurnakan dengan pilihan perabot yang bersesuaian.

Misalnya, perabot dan hiasan kebanyakannya menggunakan aksen kayu dan anyaman.

Kerusi kayu dengan bahagian belakang anyaman rotan menambah sentuhan semula jadi dan organik.

Selain itu, perabot kayu berona gelap seperti meja kopi dan meja makan membangkitkan gaya desa yang elegan.

Upholsteri klasik iaitu sofa berwarna beige dengan fabrik bertekstur dan bantal bercorak meningkatkan keselesaan serta keanggunan pada ruang utama rumah selain kabinet dan rak dinding yang direka khas dengan perincian memberikan sentuhan tradisional mewah.

norsazilawati Saad bersama keluarga di kediamannya.

Norsazilawati juga bijak bermain dengan pencahayaan dan lekapan lampu dalam membangkitkan suasana yang lebih hangat dan elegan.

Candelier besi hitam berbentuk glob dan lampu gantung gaya lantern menambah elemen rumah ladang ala industri.

“Warna beige, putih, dan coklat tanah mendominasi ruang. Gabungan perabot berwarna gelap dengan upholsteri berwarna cerah mencipta keseimbangan visual yang harmoni.

“Karpet bercorak gaya Parsi memberi kontra dengan lantai sedia ada dan selimut bercorak kotak pada bangku dan bantal bercorak bunga membawa pesona klasik ke dalam ruang,” jelasnya.

Papan catur kayu di atas meja kopi turut menjadi titik tumpu untuk hiasan dalaman yang menambah elemen intelektual dan santai.

“Konsep ini menggabungkan gaya klasik yang elegan dengan elemen moden yang praktikal, menjadikannya tidak lapuk ditelan zaman.

“Mudah disesuaikan dengan pelbagai tema dan memastikan ruang sentiasa kemas. Rekaan dalaman seperti ini memberikan rupa yang mewah tetapi tidak berlebihan serta menjadikan rumah kelihatan lebih luas dan terancang melalui konsep simetri dan keseimbangan warna,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×