Komponen PN ditegur buka cerita ‘dalam kain’

Komponen PN ditegur buka cerita ‘dalam kain’

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) ditegur supaya tidak terus mencanang hal ‘dalam kain’ Perikatan Nasional (PN) kepada pihak luar, sebaliknya membawa isu ke meja rundingan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) ditegur supaya tidak terus mencanang hal ‘dalam kain’ Perikatan Nasional (PN) kepada pihak luar, sebaliknya membawa isu ke meja rundingan.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, P. Punithan sebagai Presiden MIPP seharusnya membawa isu pemilihan Pengerusi PN Pulau Pinang ke mesyuarat pusat.

Kata beliau, sebarang isu berkaitan PN seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat gabungan yang akan datang.

“Ini kerap sangat keluarkan kenyataan secara terbuka, ini bukan cara PN. Jika ada cadangan atau pandangan boleh bangkitkan dalam mesyuarat pusat yang akan datang.

“Beliau (Punithan) boleh kata apa yang dia mahu, boleh cakap nak jadi Pengerusi PN negeri tetapi keputusan akhir bukan diputuskan olehnya sahaja. Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) yang tentukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, MIPP mendakwa sukar bagi Gerakan untuk menawan Pulau Pinang kerana DAP menerima sokongan kuat masyarakat Cina di sana.

Punithan dalam satu kenyataan berkata, meskipun Gerakan pernah mentadbir negeri itu, strategi yang lebih berkesan adalah untuk menarik pengundi Melayu dan India tanpa menolak sokongan Cina.

Dalam pada itu, Tong Keong berkata, Gerakan masih mampu untuk menarik pengundi Cina terutama daripada Pakatan Harapan (PH) yang semakin kecewa dengan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya, ekonomi yang tidak menentu menyebabkan pengundi Cina di Pulau Pinang terutama dari kumpulan B40 berasa kecewa dengan Kerajaan Perpaduan.

“Jadi ini merupakan peluang untuk PN menang dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang dan memperoleh lebih banyak kerusi di Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×