Siti Kasih, kucing penuh ekspresi

Siti Kasih, kucing penuh ekspresi

BERMATA walnut, Siti Kasih memiliki rupa yang comel dan menarik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kucing berbaka Munchkin semakin popular sebagai haiwan peliharaan kerana keunikan fizikalnya dan sifatnya yang manja.

Dikenali dengan kaki pendek dan badan yang padat, kucing ini tetap aktif serta lincah, menjadikannya pilihan menarik bagi pencinta kucing termasuk Illya Yasmin, 29.

Selain itu, si comel pendek ini hadir dalam pelbagai warna dan corak bulu, menjadikannya salah satu baka dengan variasi penampilan yang menawan.

Keunikan matanya yang berona walnut menambahkan lagi daya tarikan dan kecomelan wajahnya.

Menurut Illya, si manja yang digelar Siti Kasih bukan sahaja manja, tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri.

Siti Kasih yang telah menjadi peneman setianya sejak Jun tahun lalu merupakan seekor kucing yang mudah dijaga dan pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Kali pertama saya melihatnya, Siti Kasih hanyalah sebesar cawan minuman. Saiznya yang kecil menjadikannya amat comel dan mudah dijaga.

“Siti Kasih telah dilatih untuk menjadi kucing yang berdikari. Sikapnya yang mudah dijaga, tidak cerewet dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran menjadikannya seekor kucing yang istimewa,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, Siti Kasih yang aktif itu gemar dibawa berjalan-jalan setiap kali hujung minggu.

“Jika dibawa ke tempat asing, Siti Kasih tetap tenang dan tidak panik. Bahkan, dia juga dilatih untuk menaiki kereta, pergi mendaki dan turut serta dalam pelbagai aktiviti luar bersama saya,” katanya.

PELBAGAI EKSPRESI

Berkongsi pengalamannya bersama Siti Kasih, Illya berkata, si manjanya ini mempunyai kemampuannya membuat ekspresi wajah yang jelas.

Siti Kasih berupaya untuk menunjukkan pelbagai ekspresi wajah, termasuk muka kasihan apabila menginginkan sesuatu.

Malah, si comel itu juga bijak mengekspresikan riak wajah protes jika tidak suka dengan sesuatu perkara.

“Saya pernah terlupa memberi makanan kegema­rannya iaitu pelet kucing dan dia menunjukkan ekspresi muka yang sedih.

“Siti Kasih pernah menunjukkan muka geram dengan matanya yang tajam, seolah-olah tidak puas hati apabila terpaksa dibawa ke klinik veterinar untuk vaksinasi,” ujarnya.

PEMAKANAN

Sebagai pemilik kucing Munchkin, Illya amat prihatin tentang kepentingan diet yang seimbang untuk menjaga kesihatan Siti Kasih.

Katanya, makanan yang kaya dengan nutrisi lengkap memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan dan memastikan diet kucing yang sihat.

“Siti Kasih diberi makanan kering berkualiti tinggi seperti Royal Canin yang disesuaikan dengan keperluannya.

“Saya juga memberinya makanan basah beberapa kali seminggu untuk memastikan keperluan nutriennya tetap seimbang,” ujarnya.

Menurut Illya, kesihatan Siti Kasih sentiasa dipantau dan keperluan asasnya dipenuhi dengan baik.

“Sepanjang tempoh pemeliharaan, Siti Kasih tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang serius. Dia juga tidak pernah mengalami kecederaan atau penyakit yang membimbangkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×