BEIJING: China menuntut Amerika Syarikat (AS) menyiasat insiden nahas udara berhampiran Washington, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 67 nyawa, Rabu lalu.
Menzahirkan kesedihan dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Kementerian Luar Negeri di Beijing berkata, dua warganya termasuk dalam korban nahas tersebut.
Sebuah pesawat Bombardier CRJ700 milik American Airlines bertembung dengan helikopter tentera di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan, berhampiran Washington D.C.
Penerbangan 5342, dari Wichita, Kansas, membawa 60 penumpag dan empat anak kapal apabila ia bertembung dengan helikopter Army Black Hawk yang membawa tiga askar.
Kedua-dua pesawat itu terhempas ke dalam Sungai Potomac.
Presiden AS, Donald Trump mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam pelanggaran itu.
“Kedutaan China di AS segera mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan selepas insiden itu,” kata kementerian.
China meminta AS untuk memberikan maklumat terkini mengenai usaha mencari dan menyelamat tepat pada masanya, mengenal pasti punca kemalangan secepat mungkin dan menguruskan langkah susulan sewajarnya.
“Beijing bersedia memberikan bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa warga China dalam menguruskan insiden itu,” kata kementerian.– ANADOLU










