PUTRAJAYA: Kerajaan yakin tidak timbul isu lambakan dalam pemberian vaksin AstraZeneca yang diperoleh menerusi dua saluran iaitu fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) dan secara terus dari syarikat farmaseutikal itu di Universiti Oxford, United Kingdom (UK).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, menerusi fasiliti Covax, negara bakal memperoleh 1.39 juta dos iaitu untuk kegunaan hampir tiga peratus jumlah populasi atau meliputi 695,000 penduduk negara.
Menurut beliau, penghantaran pertama sudah diterima pada 23 April lalu iaitu sebanyak 268,800 dos manakala baki 1.12 juta dos lagi diperoleh secara berperingkat mengikut jadual sehingga akhir tahun ini.
Beliau berkata, sejumlah 6.4 juta dos lagi adalah melalui pembelian secara terus daripada syarikat pengeluar itu yang boleh diberikan kepada 3.2 juta penduduk.
“Penghantaran terus daripada syarikat pengeluar belum diperoleh dan dijangka mula dihantar pada bulan ini (Mei) seterusnya pada Jun dan Julai secara berjadual,” kata beliau di sini semalam.
Kata Adham, kerajaan bersetuju memberi vaksin AstraZaneca kepada mereka yang mahu menerimanya secara sukarela dengan konsep ‘siapa cepat dia dapat’ .
“Penawaran vaksin tersebut akan dibuat menerusi saluran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas dan mana-mana individu boleh membuat pendaftaran melalui cara yang akan diumumkan Isnin ini.
“Mereka yang bakal menerima vaksin ini disaring kesihatan dan kita akan meneliti setiap permohonan kerana kita maklum kegusaran orang ramai mengenai vaksin AstraZaneca,” katanya.
Dalam pada itu, Adham berkata, vaksin AstraZeneca yang mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) diakui selamat oleh semua badan-badan regulatori antarabangsa seperti Agensi Perubatan Eropah (EMA), Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) United Kingdom (UK) termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendapati kelebihan menggunakan vaksin tersebut adalah melebihi kemudaratan.
Menurut beliau, daripada data kajian dikeluarkan, hanya 11 kes daripada sejuta penerima mengalami kesan sampingan serius dengan melibatkan penerima berusia 25 tahun dan ke atas manakala hanya empat kes dalam kalangan penerima 55 tahun dan ke atas.
Katanya, hanya terdapat 23 kes daripada sejuta penerima di seluruh dunia yang meninggal dunia akibat Covid-19 dalam lingkungan usia 25 tahun dan ke atas.
Beliau berkata, MHRA dan EMA telah menyelesaikan penilaian mengenai kejadian pembekuan darah dengan platlet darah rendah yang sangat jarang berlaku itu daripada 34 juta orang yang menerima vaksin AstraZeneca di UK dan Kesatuan Eropah (EU).
Justeru, katanya, kerajaan yakin tidak berlaku masalah pemberian vaksin AstraZeneca itu kerana pemahaman kepada rakyat telah diberikan berhubung manfaat dan kebaikan vaksin tersebut. – UTUSAN











