PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis bersedia menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut dan keirin di pentas Olimpik.
Fadhil yang semakin mempamerkan peningkatan prestasi, melihat peluang itu sebagai langkah untuk membuktikan kemampuannya dalam mengisi kekosongan ditinggalkan jaguh negara tersebut.
Bagaimanapun, Fadhil mengakui bakal berdepan saingan sengit bagi menggalas misi mengambil alih tempat jaguh negara itu khususnya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) .
Ini disebabkan Malaysia mempunyai ramai pelumba berbakat seperti Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd. Akmal Nazimi Jusena, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dan pelapis-pelapis muda bagi mengisi tempat itu.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin merebut peluang ini. Saya tidak katakan sudah bersedia sepenuhnya, tetapi saya akan berlatih dengan lebih keras dan memberikan yang terbaik untuk bersaing dalam acara pecut dan keirin.
“Semua pelumba tahu, dua acara tersebut adalah satu-satunya peluang beraksi dalam kategori individu di Sukan Olimpik. Persaingan adalah sihat kerana setiap pelumba saling memberi cabaran dan mendorong satu sama lain.
“Pada akhirnya, pelumba terbaik akan menang dan itu yang kita mahu capai untuk pasukan,” katanya.
Fadhil turut mengakui perlumbaan pembuka musim Piala Presiden adalah persiapan terbaik menghadapi kejohanan besar seperti Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 bulan depan.
“Kejohanan berturut-turut sebegini membantu membina stamina dan perasaan perlumbaan. Walaupun penat, ia memberikan pengalaman berharga untuk berdepan cabaran sebenar nanti,” jelasnya.
Fadhil turut menyatakan dia akan terus berusaha dan berlatih untuk mencapai prestasi terbaik di pentas-pentas lebih besar seperti Kejohanan Berbasikal Dunia dan Olimpik LA28. – UTUSAN










