Sedih tutup kilang kicap selepas beroperasi 111 tahun

Sedih tutup kilang kicap selepas beroperasi 111 tahun

LOW Pak Tong pada hari terakhir operasi kilang kicap tradisional jenama Hup Teck berusia 111 tahun di Gopeng, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Operasi kilang kicap tradisional jenama Hup Teck yang berusia 111 tahun berakhir semalam apabila pengasasnya, Low Bak Tong, 72, tidak mampu lagi meneruskan perniagaan berikutan faktor usia, selain tiada generasi muda ingin menyambung perniagaan ikonik tersebut.

Lelaki bujang ini mengakui sedih kerana perniagaan diwarisi daripada ayahnya yang bermula pada 1914, berakhir sehari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, pada usia sekarang tubuhnya mudah letih dan mengalami sakit badan, justeru akan menghasilkan kicap untuk kegunaan sendiri bagi menghabiskan stok bahan mentah sedia ada sebelum berehat sepenuhnya selepas le­bih 40 tahun bekerja keras.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Generasi muda iaitu anak kepada rakan kongsi saya juga tidak mahu sambung dan de­ngan situasi saya yang tidak boleh angkat berat, inilah pengakhirannya.

“Sebelum ini saya pendamkan (tutup perniagaan) tahun demi tahun mengenang usaha gigih mendiang ayah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Low ingin menghabiskan masa dengan kawan-kawan seusia dan berjalan-jalan kera­na sepanjang menjalankan perniagaan, sebahagian besar usianya, dikorbankan untuk menghasilkan kicap secara tradisonal tanpa menggunakan sebarang mesin atau alat moden.

“Ramai yang akan sedih tidak boleh lagi membeli kicap ini, terutamanya pada Tahun Baharu Cina ini, malah saya pasti ramai yang balik kampung untuk menyambut perayaan akan terkejut, lagi-lagi yang tidak mengikuti Facebook syarikat ini apabila melihat perniagaan sudah tutup,” katanya.

Premis perniagaannya yang merupakan rumah binaan berasaskan kayu lama di Jalan Kampung Rawa di sini dengan nombor lot yang unik iaitu 999.

Pembuatan kicap secara tradisional ini menggunakan tangan menggunakan bahan-bahan seperti kacang soya, tepung gandum, gula dan garam dengan proses penapaian kicap mengambil nasa kira-kira 100 hari tanpa menggunakan sebarang perisa atau pengawet tiruan menyebabkan kicap Hup Teck terkenal di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini