Nahas Jeju Air : Korea Selatan serah laporan awal kepada ICAO

Nahas Jeju Air : Korea Selatan serah laporan awal kepada ICAO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan yang menyiasat nahas pesawat Jeju Air bulan lalu, telah mengemukakan laporan awal kemalangan kepada agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pihak berkuasa Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand.  

Memuatkan artikel berkaitan…

Siasatan mengenai bencana udara paling tragis di tanah air itu masih berjalan, menurut laporan yang tersedia dengan tumpuan kepada peranan ‘serangan burung’ serta analisis enjin dan struktur panduan pendaratan ‘localiser’ atau tembok pagar.  

“Semua aktiviti siasatan menyeluruh ini bertujuan menentukan punca sebenar kemalangan,” katanya.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mewajibkan penyiasat kemalangan menghasilkan laporan awal dalam tempoh 30 hari selepas kemalangan dan menggalakkan laporan akhir diumumkan dalam tempoh 12 bulan.

Menurut pakar, struktur ‘localiser’ membantu navigasi pesawat yang menghampiri landasan dan struktur konkrit bertetulang dan tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan yang menyokong sistem antena tersebut disyaki menjadi salah satu punca nahas. 

Laporan itu menekankan penemuan awal oleh penyiasat Korea Selatan yang telah dikongsi dengan keluarga mangsa termasuk perbincangan juruterbang mengenai sekumpulan burung yang mereka lihat semasa mendekati landasan.

Masa tepat serangan burung yang dilaporkan oleh juruterbang belum dapat dipastikan, menurut laporan kemalangan itu. 

Namun, pesawat tersebut ‘membuat pengisytiharan kecemasan kerana serangan burung semasa percubaan mendarat semula’. 

“Kedua-dua enjin telah diperiksa dan bulu burung serta kesan darah burung ditemukan pada setiap enjin. 

“Selepas melanggar tembok pagar, kebakaran dan letupan sebahagian berlaku. Kedua-dua enjin tertanam di tanah tebing, dan bahagian hadapan pesawat berselerak sejauh 30 hingga 200 meter dari tebing,” tambah laporan itu.

Laporan tersebut tidak menyatakan apa yang mungkin menyebabkan dua perakam data pesawat berhenti merakam secara serentak sebelum juruterbang mengisytiharkan kecemasan.

Pesawat berada pada ketinggian 152 meter dan terbang pada kelajuan 298 km/j ketika kotak hitam berhenti merakam, menurut laporan itu.

Pesawat Boeing 737-800 yang dalam penerbangan dari Bangkok dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, terbabas dari landasan semasa membuat pendaratan kecemasan dengan perut pesawat melanggar struktur panduan ‘localiser’.

Nahas itu mengorbankan 179 penumpang dan kru kapal semasa insiden 29 Disember lalu, di barat daya Korea Selatan. 

Hanya dua individu sahaja dilaporkan terselamat dalam kemalangan ngeri itu. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini