Lazimnya, kanser serviks tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
Bagaimanapun, Pakar Perunding Onkologi Klinikal di OncoCare Cancer Centre Malaysia, Dr. Nur Adila Mokhtar berkata, terdapat beberapa tanda amaran yang boleh diperhatikan.
Salah satu tanda amaran ialah pendarahan faraj tidak normal, yang mungkin berlaku di antara haid, selepas hubungan intim atau selepas menopaus.
Selain itu, wanita juga perlu peka terhadap keputihan yang luar biasa seperti berair, berwarna merah jambu atau berbau tidak menyenangkan.
“Selain itu, kesakitan pelvis yang berterusan atau ketidakselesaan semasa hubungan intim. Malah, perubahan dalam aliran haid serta bengkak atau sakit kaki juga boleh menandakan kanser yang berada di tahap yang lanjut.
“Justeru, kesedaran tentang gejala-gejala ini dan mendapatkan nasihat perubatan pada waktu yang tepat mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Kanser serviks kekal sebagai isu kesihatan yang signifikan bagi wanita di seluruh dunia, dengan lebih 660,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.
Di Malaysia, ia merupakan kanser keempat paling kerap dihidapi wanita, dengan 1,740 kes baharu didiagnos setiap tahun.
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks, penting untuk menekankan pengenalan vaksin Human Papillomavirus (HPV) yang telah merevolusikan pencegahan kanser serviks serta menawarkan penyelesaian yang berupaya untuk melindungi kesihatan wanita untuk generasi kini dan akan datang.
Kaitan HPV, kanser serviks
HPV ialah penyebab utama kanser serviks, dengan jenis 16 dan 18 menyumbang kepada 70 peratus kes di seluruh dunia.
“Kebanyakan individu yang aktif secara seksual akan dijangkiti HPV pada suatu ketika dalam hidup mereka, tetapi tidak semua jangkitan akan berterusan.
“Namun, strain berisiko tinggi boleh menyebabkan perubahan sel yang tidak normal pada serviks, di mana jika tidak dirawat berpotensi berkembang menjadi kanser,” katanya.
Memahami hubungan antara HPV dan kanser serviks telah membawa kepada kemajuan dalam strategi pencegahan, khususnya melalui vaksinasi.
“Lebih awal kita dapat mengesan dan mencegah jangkitan HPV, lebih besar lagi peluang kita untuk menghentikan kanser serviks daripada terus berkembang,” tambah Nur Adila.
Vaksinasi adalah paling berkesan apabila diberikan sebelum individu terdedah kepada HPV, sebaiknya pada usia 11 hingga 12 tahun.
Di usia ini, sistem imun berada dalam keadaan optimum untuk bertindak balas dengan berkesan serta memberikan perlindungan jangka panjang.
Ia juga sangat bermanfaat untuk golongan dewasa muda sehingga usia 26 tahun yang terlepas peluang untuk menerima vaksin lebih awal.
Namun, bagi individu berusia 27 hingga 45 tahun, vaksinasi masih boleh menawarkan perlindungan bergantung pada tahap pendedahan sebelumnya.
Vaksin HPV dapat mengurangkan kadar kanser serviks sehingga 90 peratus apabila diberikan pada peringkat awal.
Malah, vaksin ini juga menawarkan perlindungan terhadap kanser lain yang berkaitan dengan HPV, termasuk kanser vulva dan faraj, menjadikannya sebuah komponen penting dalam penjagaan kesihatan pencegahan.
Justeru, kata Nur Adila, walaupun vaksin HPV besar keupayaannya, saringan kanser serviks secara berkala tetap penting.
Pap smear, yang disarankan setiap tiga tahun untuk wanita berusia 21 hingga 29 tahun, dapat mengesan perubahan awal pada sel serviks.
Bagi wanita berusia 30 tahun ke atas pula, gabungan pap smear dan ujian HPV memberikan ketepatan yang lebih tinggi.
“Wanita perlu memulakan saringan pada usia 21 tahun, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” katanya.
Peranan lelaki
Lelaki memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pencegahan HPV. Apabila memahami kesan HPV, lelaki boleh menggalakkan vaksinasi dalam kalangan pasangan, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.
Sementara itu, amalan seks selamat, termasuklah penggunaan kondom, dapat membantu mengurangkan risiko penularan.
“Lelaki juga boleh menyokong kesedaran tentang HPV dengan menyertai kempen pendidikan dan menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan seksual.
“Dengan mengutamakan kesihatan mereka sendiri melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan vaksinasi, lelaki dapat menjadi contoh serta menyumbang kepada budaya penjagaan kesihatan yang proaktif,” katanya.










