CUTI panjang persekolahan sudah bermula. Sudah tentu ramai yang membuat susun atur tersendiri bagi mengisi musim cuti panjang persekolahan tersebut.
Dalam pelbagai perancangan yang dilakukan, saya berharap biarlah ia dibuat secara penuh berhemah.
Elak sama sekali daripada melakukan pembaziran wang. Ingatlah, masih ramai insan di negara ini yang hidup serba kekurangan. Mereka hanya makan minum secara ala kadar sahaja.
Bagaimanapun, bagi mereka yang agak berkemampuan, teruskan program percutian secara sederhana.
Mungkin setelah penat lelah setahun bekerja mencari rezeki, ada yang mahu merehatkan minda.
Justeru. antara program yang dirancang mungkin ada yang mengatur perancangan untuk membuat lawatan ke sesuatu destinasi.
Dalam pengisian perancangan tersebut, setiap yang terlibat hendaklah lebih berhati-hati terutama semasa memandu.
Sudah pasti semasa musim cuti panjang persekolahan panjang sekarang, terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya.
Elak sama sekali setiap kenderaan yang dinaiki terlibat dalam sesuatu kejadian yang tidak diingini apatah lagi kemalangan yang boleh membawa maut.
Sementara itu, ibu bapa juga hendaklah lebih bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mengisi musim percutian panjang persekolahan sekarang dengan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
Pastikan mereka sentiasa membuat ulang kaji pelajaran di rumah. Awasi mereka terutama anak-anak lelaki bergaul dengan kawan-kawan yang boleh mengheret mereka kepada kegiatan negatif seperti merokok atau menghisap dadah.
Bagi mereka yang mempunyai anak-anak perempuan juga tidak terkecuali untuk membuat pengawasan.
Adalah tidak mustahil jika terlalu bebas bergaul, mereka juga boleh terjerumus ke lembah penagihan dadah dan merokok.
Lebih membimbangkan kepada mereka yang mempunyai anak-anak perempuan kalau anak-anak mereka melakukan hubungan seks bebas hingga membawa kepada mengandung di luar nikah.
Justeru, apa yang diharapkan agar semua pihak memahami bahawa cuti panjang persekolahan bukan cuti untuk bergembira. Sebaliknya ia merupakan cuti untuk berwaspada oleh semua pihak yang terlibat. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










