NAMA Pasar Bisik mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan warga utara Semenanjung khususnya mereka yang tinggal Pulau Pinang dan Kedah.
Malah, keunikan pasar basah itu juga sudah menjadi bualan penduduk di negeri lain yang tidak melepaskan peluang untuk singgah ke situ jika berkesempatan.
Terletak di sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah, Pasar Bisik sebenarnya boleh diakses di kedua-dua negeri dengan jarak kurang satu kilometer (km) yang dipisahkan oleh Sungai Muda, tidak jauh dari kawasan perairan Selat Melaka di situ.
Bagaimanapun, jika seseorang itu memilih untuk menggunakan jalan darat atau berkereta, maka, jarak antara kedua-dua lokasi boleh melebihi 10 km dengan tempoh masa yang diambil kurang 20 minit.
Di sebelah Kedah, Pasar Bisiknya dikenali sebagai Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda manakala di Pulau Pinang pula, ia lebih dikenali sebagai Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga.
Meskipun berbeza lokasi, konsep yang diguna pakai di kedua-dua Pasar Bisik adalah sama sahaja.
Kebiasaannya, pembeli, pemborong atau pengusaha kedai makan dan restoran akan menunggu peraih atau nelayan yang baru pulang dari laut sebelum aktiviti ‘bisik-membisik’ dilakukan.
Bagi mereka yang tidak begitu mengetahui ‘peraturan’ di situ khususnya orang luar, mungkin rasa kekok akan ada pada peringkat awal.
Namun, kesediaan para nelayan melayan `bisikan’ bakal pembeli untuk sebarang bidaan atau tawar-menawar terhadap harga ikan, udang, sotong, ketam dan sebagainya, mungkin melegakan mereka.
Difahamkan, kaedah `berbisik’ dalam menentukan harga itu telah diamalkan sejak tahun 60-an lagi.

unik dengan kaedah berbisik bagi membeli hasil laut nelayan.
Kunjungan penulis ke Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga baru-baru ini mendapati, amalan yang sama masih diteruskan walaupun lebih separuh abad telah berlalu.
Menurut seorang nelayan, Hanif Mat Isa, 50, kemeriahan Pasar Bisik masih sama terutamanya ketika musim ikan banyak atau peningkatan pendaratan ikan seperti kembung dan lain-lain.
“Dulu meriah sebab ramai orang ‘dok’ bisik, bagi isyarat tangan apa semua, semasa nak beli ikan. ‘La ni’ (sekarang) pun meriah juga walaupun dah tak ramai orang bisik-bisik bila nak beli ikan.
“Bagi saya, selagi ada permintaan, selagi itulah kami (para nelayan) akan turun ke laut dan bawa balik hasil (tangkapan) walaupun kadang-kadang tak seberapa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Hanif atau lebih mesra disapa Nik, kebiasaannya, dia akan keluar menangkap ikan pada lewat petang dan balik seawal pukul 2 pagi.
Katanya, selepas beberapa jam berehat, dia akan ke Pasar Bisik untuk menjual hasil tangkapan kira-kira pukul 8 atau 9 pagi sehingga ia habis dijual.
“Dulu, harga ikan murah. Kita jual borong pun tak banyak dapat. Tapi, ‘la ni’ harga ikan pun dah naik. Ada rezeki lebih, Alhamdulillah,” katanya yang mampu meraih pendapatan melebihi RM100 sehari jika hasil tangkapan yang dijual tinggi.
Bagi peraih ikan, Mohd. Nadhar Mohd. Nor, 37, tradisi Pasar Bisik dianggap unik dan jarang diamalkan di tempat lain.
“Saya lihat tradisi (berbisik) itu masih ada, cuma, apabila berdepan dengan situasi barang naik ini, ramai yang ‘mai’ (datang) Pasar Bisik untuk tengok-tengok sahaja daripada yang membeli.
“Apapun, kami seronok sebab Pasar Bisik masih dikunjungi orang ramai terutama hujung minggu dan musim cuti sekolah,” katanya.

COVID-19 UBAH TRADISI PASAR BISIK
Pandemik Covid-19 yang melanda negara kira-kira lima tahun lalu sedikit sebanyak hampir ‘menghakis’ tradisi unik yang diamalkan di Pasar Bisik.
Disebabkan penjarakkan sosial begitu dititikberatkan ketika itu bagi pencegahan penularan pandemik tersebut, maka pihak berkuasa melarang amalan berbisik untuk penawaran harga diteruskan di situ.
Selain pengambilan suhu badan sebelum boleh menjual atau membeli ikan, sistem nombor giliran turut diperkenalkan bagi membolehkan urus niaga ketika itu berjalan lancar.
Menurut seorang nelayan, Mat Nor Ibrahim, 62, kehidupan mereka ketika itu agak tertekan kerana tidak bebas untuk menjual hasil tangkapan masing-masing, apatah lagi jika hasil yang diperoleh tidak seberapa.
“Saya masih ingat semasa Pasar Bisik ditutup seminggu sebab tak ikut SOP (prosedur operasi standard) semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).
“Kami kecewa sebab hilang mata pencarian masa itu. Gaji kami hari-hari. Tak boleh jual ikan atau hasil laut yang lain bermakna, kami terpaksa ‘ikat perut’.
“Tapi, Alhamdulillah. Covid-19 juga mengajar kami erti kesabaran dalam mencari rezeki,” katanya yang gembira melihat tradisi lama seperti berbisik kembali diamalkan selepas era pandemik tersebut berakhir.

tawaran berbisik kepada pembeli.
NAIK TARAF PASAR BISIK
Seiring dengan peredaran zaman, beberapa kemudahan di Pasar Bisik semakin uzur dan perlu diganti atau dinaik taraf dengan kemudahan baharu yang lebih baik.
Perkara itu pernah diusulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu.
Menurut beliau, Pasar Bisik merupakan kawasan tumpuan pengunjung termasuk dari luar Pulau Pinang untuk membeli ikan serta hasil laut yang lain.
“Kawasan ini (Pasar Bisik di Penaga) cantik, menarik dan ikan-ikannya pula dijual secara tradisional (kaedah berbisik dan menggunakan bahasa isyarat). Tapi, kadang-kadang orang yang datang terlalu ramai.
“Jadi, kerajaan perlu mengambil langkah untuk mempertingkatkan serta menaik taraf kawasan itu demi keselesaan pengunjung,” katanya.
Hasil tinjauan mendapati, beberapa kemudahan seperti tandas, tempat letak kereta dan beberapa kedai makan di sekitar kawasan itu telah diperelok, ditambah baik atau diperbaharui buat masa ini, namun, ia masih belum memadai.
Dibandingkan dengan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Muda atau Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda di Kedah, kerja-kerja menaik taraf di sana dilihat lebih rancak berjalan ketika ini.
Apapun, kedua-dua lokasi mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada penduduk setempat kerana tradisi berbisik yang diamalkan oleh mereka masih kekal hingga ke hari ini. – UTUSAN










