SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada suku kedua tahun ini tanpa menjejaskan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Izani Ghani berkata, pada masa ini pihaknya sedang menyelesaikan beberapa isu teknikal untuk memastikan sistem beroperasi dengan lancar di semua komponen dan memenuhi keperluan keselamatan.
“Keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan. Pada masa ini perkhidmatan Aerotrain sedang melalui ujian dan penilaian mandatori untuk memastikan sistem beroperasi dengan lancar merentas semua komponen keselamatan.
“Ini adalah projek penting untuk perkhidmatan lapangan terbang negara selari dengan matlamat untuk meningkatkan pengalaman penumpang dan melonjak reputasi KLIA ketika negara sedang bersedia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada pemberita dalam taklimat dan lawatan media projek aerotrain KLIA di sini semalam.
Aerotrain menjadi tulang belakang sistem pengangkutan dalaman KLIA sejak mula beroperasi pada 1998, telah digantung perkhidmatannya pada Mac 2023 selepas mengalami kerosakan.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony loke memaklumkan perkhidmatan aerotrain tidak dapat memenuhi tarikh untuk beroperasi semula pada 31 Januari ini berikutan tempoh ujian pemeriksaan masih lagi berlangsung.
Ini kerana terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu kelewatan tersebut antaranya ujian sistem penuh yang perlu dijalankan pihak kontraktor selain ujian sistem secara menyeluruh dan integrasi sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi ujian akhir.
Mohd Izani berkata, fasa kritikal ini akan memastikan sistem aerotrain memenuhi keselamatan dan prestasi tertinggi piawaian tertakluk kepada keperluan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Katanya, projek tiga tahun yang bermula pada Mac 2022 itu kini dalam fasa pengujian dan pentauliahan (T&C) terakhir sebagai prosedur operasi keselamatan yang ketat.
“Walaupun menghadapi beberapa cabaran sebelum ini, melibatkan tenaga pencawang dan trek, projek itu kini hampir siap.
“Tumpuan kekal kepada standard pencapaian bertaraf dunia dengan mengutamakan keselamatan penumpang dan kebolehpercayaan perkhidmatan,” katanya.
Aerotrain kini sedang menjalani 80 ujian kritikal termasuk ujian terakhir melibatkan ujian pergerakan tanpa kegagalan (FFR) yang memerlukan aerotrain pertama dapat bergerak sejauh lebih 2,000 kilometer tanpa sebarang kegagalan, dan tren seterusnya bergerak sejauh 1,000 kilometer dengan lancar.
Penilaian ini dijalankan untuk memastikan semua ciri keselamatan, operasi dan prestasi memenuhi keperluan peraturan yang ketat di bawah seliaan APAD untuk mengesahkan pematuhan dan kesediaan sistem untuk kelulusan dan permulaan operasi penuh.
Mohd. Izani turut memaklumkan kapasiti aerotrain baharu telah ditingkatkan kepada 270 penumpang setiap perjalanan, berbanding 230 penumpang pada tren terdahulu, dengan setiap tren terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti 90 penumpang bagi setiap gerabak.
Dalam pada itu, MAHB telah memulakan persiapan menyambut delegasi ASEAN dan aktiviti berkaitan sejak Disember lalu.
“Kami telah menaik taraf ruang istirahat di KLIA dan lapangan terbang utama lain untuk memastikan kelancaran pergerakan delegasi. Susunan khas termasuk penggunaan Kompleks Bunga Raya juga telah disiapkan,” katanya.
Projek aerotrain ini dijangka bukan sahaja meningkatkan kemudahan di KLIA tetapi juga menyumbang kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama serantau.
Perkhidmatan aerotrain di KLIA mula dihentikan sepenuhnya pada 2 Mac 2023 atas faktor keselamatan selepas insiden aerotrain terkandas membabitkan 114 penumpang. – UTUSAN










