Terengganu bukan menang nasib - Badrul

Terengganu FC bukan menang nasib – Badrul

Pemain Terengganu FC, Safawi Rasid (tengah) diasak pemain PSM Makassar FC dalam perlawanan ASEAN Club Championship 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam semalam. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan 1-0 anak buahnya ke atas kelab Indonesia, PSM Makassar FC semalam bukan sebab nasib.

Katanya, kemenangan itu adalah usaha kerja keras berterusan pemainnya untuk memburu tiga mata bagi menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir saingan Kejuaraan Kelab ASEAN bagi merebut Piala Shopee.

Bagaimanapun, Badrul mengakui anak buahnya tidak mempamerkan aksi sebenar seperti mana ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Jumaat lalu.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak semalam, kapten Sang Penyu, Safawi Rasid meledak gol tunggal selepas menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-64 untuk memastikan tuan rumah meraih tiga mata.

“Tiga mata yang begitu bermakna buat pasukan, tapi saya akui pemain tidak beraksi seperti biasa kerana mereka nampak ada keletihan, barisan penyudah pula agak tumpul biarpun berpeluang untuk menjaringkan gol.

“Kita lihat babak pertama corak permainan agak perlahan, tapi pada separuh masa kedua saya ingatkan pemain agar tingkatkan lagi kualiti permainan dan lebih fokus.

“Alhamdulillah mereka berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan selepas mendapat beberapa peluang yang terbaik untuk mendapatkan jaringan sehinggalah memperoleh sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan,” katanya.

Keputusan itu, membolehkan Terengganu menghuni tangga kedua kumpulan dengan mengutip tujuh mata berbanding pendahulu, BG Pathum yang mengumpul lapan mata selepas empat perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih PSM Makassar FC, Fernando Tavares berkata, kegagalan jentera serangannya menyempurnakan peluang dalam bentuk jaringan membuat mereka pulang tanpa mata.

“Tahniah buat pasukan lawan, mereka ada peluang untuk menjaringkan gol melalui sepakan penalti, tapi pasukan kita juga mampu untuk menyumbat gol menerusi deretan peluang yang dicipta.

“Tapi penyudah kurang tepat menyaksikan kami gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, lebih perit kekalahan itu adalah yang pertama dalam kumpulan,”jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×