Hamilton tidak sabar mahu pecut Ferrari  

Hamilton tidak sabar mahu pecut Ferrari  

Lewis Hamilton
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Juara dunia Formula 1 (F1) tujuh kali Lewis Hamilton memulakan langkah pertamanya sebagai pemandu Ferrari kelmarin dan menyatakan kegembiraannya menyertai pasukan ikonik tersebut.

Pemandu berusia 40 tahun itu mengejutkan ramai peminatnya pada Februari 2024 apabila mengumumkan bahawa dia akan berpindah ke Ferrari selepas 12 tahun yang berjaya bersama Mercedes.

“Hari ini (kelmarin) kita memulakan bab baharu dalam sejarah pasukan ikonik ini, dan saya tidak sabar untuk melihat kisah apa yang akan kita tulis bersama,” katanya dalam satu kenyataan akhbar ketika pertama kali muncul di Maranello, ibu pejabat Scuderia.

Dengan mengenakan kot panjang, sut gelap dan tali leher bersama kemeja putih, Hamilton mempamerkan penampilan bergaya ketika bergambar di hadapan rumah bekas pengasas Ferrari, Enzo Ferrari.

Hamilton kemudian pergi ke litar Fiorano untuk bertemu dengan ketua pasukan Frederic Vasseur, dan pengarah urusan Ferrari, Benedetto Vigna.

Di Maranello, Hamilton turut berpeluang berbincang bersama ahli pasukan yang akan bekerjasama dengannya untuk minggu-minggu akan datang, termasuk jurutera trek, Riccardo Adami.

“Terdapat beberapa hari yang anda tahu anda akan ingat selamanya dan hari ini (kelmarin), hari pertama saya sebagai pemandu, adalah salah satunya. 

“Saya telah diberi peluang untuk mencapai perkara-perkara dalam kerjaya saya yang mungkin saya tidak pernah sangka tetapi sebahagian daripada saya sentiasa memegang impian untuk berlumba dengan merah.

“Saya berdedikasi untuk memberikan segala yang saya ada untuk pasukan, organisasi yang lebih besar dan para peminat,” kata Hamilton, yang akan bergandingan dengan Charles Leclerc dalam usaha mereka untuk memberikan gelaran juara dunia pertama Ferrari sejak Kimi Raikkonen pada tahun 2007.

Hamilton akan memandu jentera Ferrari buat pertama kalinya pada hari ini di litar Fiorano di mana dia akan dibenarkan memandu sejauh 1,000 kilometer (km) menggunakan model 2022 itu. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×