Polis tidak boleh periksa telefon tanpa sebab – Syahredzan

Polis tidak boleh periksa telefon tanpa sebab – Syahredzan

SYAHREDZAN JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun pi­hak polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang, tindakan tersebut hanya boleh dilakukan jika terdapat syak wasangka bahawa individu tersebut telah melakukan sesuatu yang me­langgar undang-undang.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, rakyat harus faham bahawa apa-apa kuasa yang diberikan kepada mana-mana pihak adalah berlandaskan undang-undang.

Katanya, tiada peruntukan mana-mana undang-undang yang memberikan kuasa sewenangnya kepada pihak polis untuk periksa telefon bimbit tanpa sebab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita harus faham bahawa kuasa yang diberikan kepada mana-mana pihak adalah berlandaskan undang-undang.

“Pemeriksaan telefon bimbit oleh pihak polis hanya boleh dilakukan berdasarkan undang-undang dan tidak sewenang-wenangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan polis tidak boleh memeriksa telefon orang awam tanpa alasan yang munasabah kerana perkara itu mestilah berdasarkan maklumat risikan dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis tidak boleh dilihat sebagai pasukan penguat kuasa yang tidak mempedulikan peruntukan undang-undang.

Mengulas lanjut, Syahred­zan yang juga pengamal undang-undang berkata, perkara yang dinyatakan oleh Menteri itu adalah tepat mengenai kedudukan undang-undang mengenai isu ini.

“Polis memang boleh periksa telefon kita, tetapi hanya jika mereka mengesyaki kita terlibat dalam sebarang ke­salahan undang-undang.­

“Sebagai contoh, jika seseorang telah ditahan atau te­lefon bimbit telah dirampas, polis mempunyai hak untuk mengakses peranti tersebut termasuk membuka kunci atau kata laluan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa atau merampas telefon melainkan terdapat asas kukuh seperti kecurigaan terhadap penggunaannya da­lam jenayah.

Katanya, sebarang penyiasatan mesti mengikut prosedur ditetapkan, termasuk dilakukan oleh pegawai berpangkat inspektor ke atas de­ngan menghormati hak individu yang disiasat.

“Rakyat berhak menolak permintaan polis untuk serahkan telefon kecuali ada bukti jelas atau arahan sah di bawah undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini