Anak enggan ke sekolah antara petanda masalah pembelajaran

Anak enggan ke sekolah antara petanda masalah pembelajaran

Pertuturan yang tidak difahami dan diejek akan menyebabkan kanak-kanak murung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tingkah laku yang membimbangkan seperti kurang beri perhatian, hiperaktif atau sering kali tidak mahu ke sekolah antara gejala kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Wai Loong berkata, kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran boleh menunjukkan pelbagai gejala yang mungkin muncul seawal zaman bayi atau hanya menjadi ketara apabila mereka memasuki alam persekolahan.

Sesetengah simptom masalah pembelajaran yang disebabkan oleh Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autism Spectrum Disorder (ASD) atau Masalah Pembelajaran Spesifik seperti Disleksia (kesukaran membaca), dyscalculia (kesukaran mengira) dan disgraphia (kesukaran menulis) hanya timbul ketika mereka mula bersekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Segelintir kanak-kanak tersebut mungkin menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan seperti kurang perhatian, hiperaktif atau enggan ke sekolah.

“Tingkah laku seperti ini selalunya hanya dianggap ‘nakal’ tetapi sebenarnya adalah isyarat awal golongan kanak-kanak tersebut tidak dapat menampung keperluan akademik dan sosial dalam kelas,” katanya.

Masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja mempengaruhi bidang akademik, malah melibatkan kestabilan emosi, kemahiran sosial dan kemampuan mereka untuk menjalani kehidupan seharian.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 mendedahkan seramai 7.4 peratus kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan dengan kadar prevalens dalam kemahiran motor kasar (1.0 peratus), kemahiran motor halus (1.9 peratus), pertuturan dan pendengaran (2.7 peratus) dan perkembangan sosial (4.1 peratus).

KELEWATAN PERKEMBANGAN
Kelewatan perkembangan juga boleh menyebabkan masalah pembelajaran sekiranya tidak dikesan awal.

Kelewatan dalam pertuturan, kemahiran motor atau interaksi sosial dapat mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk belajar dan menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang lambat bercakap mungkin perlu bekerja keras untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya di taska.

Namun, pertuturan yang sukar difahami dan diejek boleh mengakibatkan kemurungan dan mula mengasingkan diri daripada orang lain.

Tambah Wai Loong, perkembangan yang selaras dengan usia adalah penunjuk utama tumbesaran yang sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Kelewatan dalam bidang seperti kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, pertuturan dan bahasa atau interaksi sosial mungkin boleh mendatangkan masalah pembelajaran yang serius jika tidak dikesan awal.

Kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan global (GDD), di mana dua atau lebih bahagian perkembangan terjejas lebih berisiko untuk mengalami cabaran belajar jika dibiarkan.

Justeru, penilaian perkembangan secara berkala perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah lambat dikesan.

“Pemantauan berterusan semasa mereka membesar dan intervensi awal jika berkaitan, adalah faktor utama kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan untuk mencapai potensi mereka yang sepatutnya.

“Kajian menunjukkan program intervensi awal (EIPs) memberi kesan yang memberangsangkan kepada kanak-kanak yang lewat perkembangan,” jelasnya.

EIPs direka untuk menangani kelewatan perkembangan dan kesukaran pembelajaran pada peringkat awal.

Program itu menggunakan pendekatan yang disesuaikan bagi membantu kanak-kanak mengatasi cabaran dan mencapai potensi.

Aktiviti yang dijalankan termasuk terapi pertuturan, terapi carakerja dan latihan integrasi deria yang disesuaikan dengan keperluan unik setiap individu.

“Program intervensi awal bukan hanya menitikberat pencapaian akademik. Mereka memberi tumpuan kepada pembangunan holistik, melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersosial dalam masyarakat,” katanya.

Cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dengan kesukaran belajar boleh menjejaskan kesejahteraan emosi serta nilai kendiri tanpa disedari.

Kanak-kanak sentiasa bergelut untuk mengikuti langkah rakan sebaya saban hari.

Jika dibiarkan, kebanyakan daripada mereka akan mengalami masalah buli, kekecewaan atau pengasingan diri dan seterusnya tidak mahu bersekolah.

Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dengan menyokong anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran.

Contohnya, penggunaan pelbagai deria dengan menyediakan gambar berwarna-warni serta penggunaan aplikasi text-to-speech dapat meningkatkan kemampuan anak- anak untuk memahami suku kata baharu.

Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Komunikasi yang kerap antara kedua-dua pihak akan membantu memahami cabaran yang dihadapi kanak-kanak.

Hal ini membolehkan guru dan ibu bapa menyesuaikan strategi pembelajaran yang diperlukan untuk membantu perkembangan si kecil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini