PETALING JAYA: Malaysia bakal menerima impak positif dari sudut ekonomi selepas rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) dihidupkan semula.
Pejabat Perdana Menteri berkata, pengumuman penyambungan semula rundingan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Jelasnya, penyambungan semula rundingan ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia.
“Ia turut mencerminkan komitmen negara dalam memupuk hubungan ekonomi yang lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU), yang merupakan salah satu rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.
“Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada tahun 2023, EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Sehingga tahun 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
MEUFTA dijangka membuka manfaat besar merentasi pelbagai sektor ekonomi negara selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal.
“MEUFTA turut akan menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor-sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.
Penyambungan semula rundingan MEUFTA adalah bukti visi bersama negara dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perkongsian perdagangan serta pelaburan.
“Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia,” katanya.
Anwar semasa majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia di Belgium berkata, rakyat Malaysia di luar negara perlu mempunyai hak yang sama seperti mereka di tanah air untuk mengundi dalam pilihan raya.
Katanya, beliau sudah membangkitkan mengenai isu undi pos untuk rakyat Malaysia di luar negara dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“SPR merupakan badan bebas, namun saya sudah mengemukakan perkara ini kepada mereka. Mereka perlu memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk mengundi.
“Saya beritahu jangan lakukannya menerusi kedutaan (untuk pengundian). Gunakan beberapa mekanisme supaya orang boleh mengundi walaupun ini akan menyebabkan pertambahan dana,” katanya.











