Masalah disiplin, ‘besar kepala’ sukarkan cari pengganti Chong Wei

Masalah disiplin, ‘besar kepala’ sukarkan cari pengganti Chong Wei

RASHID Sidek (belakang, tiga dari kanan) bersama 14 pemain badminton yang menyertai sesi ujibakat zon timur program realiti Rashid Mencari Juara di PBNK, Telipot, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Masalah disiplin di dalam dan luar gelanggang serta sikap mudah besar kepala menjadi punca arena badminton negara sukar mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, walaupun negara mempunyai kemudahan latihan yang lengkap, semua itu tidak bermakna disebabkan masalah sikap dan disiplin.

“Masalah sebenar pemain kita adalah pemain itu sendiri dan bukan sistem latihan atau persatuan. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai segala kemudahan, pendedahan dan peluang telah disediakan tetapi apabila pemain ada masalah terutama disiplin dan sikap, semuanya jadi tidak bermakna.

“BAM sudah bagi semua termasuk hantar pemain ke berbelas kejohanan antarabangsa dalam setahun tetapi kalau sikap dan disiplin tidak dijaga… habislah,” katanya kepada pemberita pada sesi uji bakat program realiti Rashid Mencari Juara di sini, semalam.

Rashid berkata, cepat ‘besar kepala’ apabila memenangi satu atau beberapa kejohanan antarabangsa memberikan kesan tidak baik kepada badminton negara.

“Menang satu atau dua kejohanan antarabangsa terus besar kepala dan bila itu berlaku nasihat, pandangan dan kata-kata jurulatih sudah tidak boleh diterima oleh pemain yang merasakan dirinya sudah juara.

“Ketika masih ‘junior player’ semua nasihat dan kata-kata jurulatih dipatuhi tetapi apabila sudah dapat ranking dan jadi juara, mula susah untuk terima kata-kata jurulatih. Itu adalah masalah sikap dan itulah yang banyak berlaku dalam kalangan pemain tempatan,” katanya.

Rashid berkata, perkara sama dapat dilihat di peringkat dunia apabila China yang mempunyai populasi 1.6 bilion penduduk turut berdepan kesukaran untuk mencari pengganti Lin Dan.

Katanya, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam sukan badminton namun BAM perlu bekerja lebih kuat serta kerap turun ke peringkat akar umbi untuk mencari serta menggilap bakat-bakat baharu sehingga ke tahap antarabangsa.

“Namun perlu kita ingat, prestasi seseorang pemain antarabangsa itu bukan hanya boleh diukur pada tahap kebolehan atau skil sahaja tetapi perlu turut merangkumi aspek kekuatan mental, motivasi dan semangat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×